Bantuan Tidak Terhad Ketika Banjir Sahaja Malah Pasca Banjir Amat Dialu-Alukan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bantuan banjir kepada mangsa-mangsa yang terlibat bukan sahaja terhad ketika rumah masing-masing ditenggelami air malah bantuan pasca banjir juga harus dilipatgandakan.

Ini kerana kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pasca banjir memperlihatkan bukan sahaja kediaman malah segala kelengkapan akan turut musnah selain memerlukan bantuan pelbagai pihak dalam proses pembersihan dan sebagainya.

“Banjir tidak mengenal parti politik dan banjir juga tidak mengenal bangsa…banjir harus didepani oleh bukan hanya kerajaan malah rakyat Malaysia.

“Keprihatinan rakyat Malaysia amat dialu-alukan dan tentunya sumbangan pada pagi ini untuk mangsa banjir adalah manifestasi kita mengenepikan perbedaan politik,” ujarnya kepada UMNO Online.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyaksikan misi bantuan mangsa banjir bagi negeri Pahang, di sini hari ini.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat menghulurkan bantuan baik orang perseorangan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita harap bukan hanya NGO tetapi individu juga perlu bersama-sama turun ke bawah bagi membantu mangsa banjir.

“Yang penting bukan hanya masa dan waktu banjir berlaku tetapi juga yang lebih berat lagi ketika pasca banjir yang mana rumah harus dibaiki dan peralatan juga harus diganti dan penyucian juga harus dilakukan dan saya berharap sumbangan seumpama ini diteruskan pasca banjir,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.