Idea, Usul Dari Akar Umbi Mampu Dijadikan Dasar Untuk Parti Dan Negara – Azizan

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Azizan Sulaiman berkata telah menjadi amalan kepada akar umbi untuk menyuarakan dan memberikan pandangan dan idea-idea ketika persidangan.

Jelas beliau, usul-usul yang dilontarkan dengan berbagai isu dan ia meliputi kehendak akar umbi khususnya untuk parti UMNO dan negara.

“Memang kebiasaannya apabila mesyuarat perwakilan dijalankan terdapat bermacam-macam usul yang dibentangkan oleh perwakilan sebagai dasar kepada pentadbiran negara. Usul-usul yang diberikan memang bertepatan dengan kehendak rakyat dan juga parti.

“Mesyuarat perwakilan bahagian UMNO ini bermakna sebagai medan menyampaikan usul-usul dan membawa pelbagai isu-isu dari akar umbi khususnya di peringkat cawangan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Azizan yang juga Ahli Dewan Undan Negeri (ADUN) Santan menjelaskan walaupun UMNO kini bukan lagi dominan di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi setiap isu dan usul yang dibawa boleh dimajukan ke peringkat atasan.

“Usul-usul dan cadangan dari akar umbi ada juga dibawa ke Dewan Rakyat dan ia diterima pakai oleh kerajaan PN. Jadi bermaknanya…ia masih relevan. Usul di peringkat cawangan mahupun usul di peringkat perwakilan bahagian untuk kita menjadi satu panduan pada dasar kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu Azizan menasihati perwakilan mesyuarat bahagian agar mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita perlu mematuhi SOP dan saya telah pun berbincang ahli jawatankuasa perhubungan negeri. Kita menerima tapi di Perlis tidak ada masalah sangat.

“Kita boleh buat cara ’online’ dan ia tidak ada masalah tetapi kuota yang diberi adalah ¼ dari perwakilan dan sekiranya kehadiran melebihi dari ¼ kita akan buat secara ‘online’ di peringkat bahagian sekiranya perlu,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah memaklumkan bahawa tarikh untuk Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada 1, 2 dan 3 Jan 2021.

Ia akan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.