GLC Perlu Produktif, Jadi Teras Pemacu Pembangunan Ekonomi – Pemuda UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 22 Dis – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Mohd Kurniawan Naim Moktar berpandangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah perlu menjadi teras yang memacu pembangunan ekonomi Negeri Sabah bagi memastikan kitaran ekonomi dalam negeri mengalir secara lancar bagi mewujudkan persekitaran ekonomi yang sihat.

Ulas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan itu, antara cadangannya ialah GLC juga perlu menjadi payung ekonomi kepada industri sederhana dan kecil.

“GLC Sabah perlu lebih produktif bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat negeri Sabah termasuk peluang pekerjaan bergaji rendah, sederhana dan tinggi.

“GLC Sabah perlu membangun sebagai sebuah syarikat yang kompetitif di pasaran bagi memastikan aliran wang masuk ke Negeri Sabah dapat dipertingkatkan untuk digunakan bagi membangunkan fasiliti-fasiliti di Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan yang berpandangan perlu ada penambahbaikan kepada GLC di bawah Kerajaan Negeri Sabah agar kerajaan mendapat pulangan pendapatan yang maksima.

Begitu juga katanya berkaitan permasalahan asas bagi GLC negeri tersebut seperti kegagalan beberapa GLC membangun dan berkembang sebagai sebuah syarikat yang produktif dan kompetitif di pasaran.

“GLC merupakan syarikat yang beroperasi sebagai ‘profit-making’, dan bukannya ‘budget-spending’. 37 GLC (tidak termasuk anak syarikat) tetapi hanya 20 syarikat yang mampu berkembang dan membangun sebagai syarikat yang produktif dan kompetitif di pasaran.

“Limitasi perkhidmatan dan produk berikutan pentadbiran yang masih konservatif yang mengharapkan geran-geran dan peruntukkan kerajaan walaupun telah beroperasi bertahun-tahun,” katanya.

Kurniawan turut menyentuh Sistem Penarafan yang perlu diperkenalkan bagi melakukan pemantauan kepada GLC-GLC Negeri Sabah bagi memastikan syarikat-syarikat tersebut lebih berdaya saing di pasaran bagi menjana pendapatan kerajaan Negeri Sabah.

“Gred penarafan akan diberikan bagi menjadi ukuran produktiviti sesebuah syarikat secara tahunan.

“Indikator Prestasi Utama (KPI) akan diberikan bagi menjadi sasaran tahunan GLC Sabah bagi memastikan syarikat-syarikat tersebut terus berada di paksi landasan yang disasarkan oleh kerajaan Negeri Sabah.

“Penarafan boleh dilaksanakan menerusi dua teras utama iaitu ‘measure of effectiveness’ (MOE) dan ‘measure of performance’ (MOP). Kedua-dua teras tersebut akan dijadikan ukuran penarafan GLC Sabah,” katanya.

Selain itu, Kurniawan mencadangkan agar mereformulasikan sistem operasi GLC iaitu terhadap struktur organisasi yang tidak efektif bagi memastikan struktur organisasi yang lebih efektif dapat dibentuk untuk memastikan KPI dapat dicapai.
“Pelan Pembangunan GLC Sabah perlu dirangka secara strategik bagi menentukan halatuju syarikat dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“Penstrukturan semula GLC Sabah akan dilakukan secara menyeluruh terutamanya yang melibatkan produktiviti dan operasi,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.