Stok Bantuan Banjir Dijual Semula Kepada Pembekal Jika Tak Digunakan – MB Pahang

KUANTAN, 16 Nov – Bermula tahun ini, stok barang bantuan bencana banjir yang tidak habis digunakan di Pahang akan dijual semula dengan hasilnya dimasukkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata barangan itu akan dijual semula kepada mereka yang dilantik membekalkan barangan tersebut pada kadar 30 peratus daripada harga asal.

“Sebelum ini, stok yang tidak digunakan akan diagihkan kepada komuniti setempat dan golongan sasaran oleh pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah,” katanya menjawab soalan Sim Chon Siang (PH-Teruntum) yang ingin tahu tentang tindakan yang akan dibuat terhadap stok barang bantuan jika banjir tidak berlaku memandangkan persiapan telah dilakukan.

Kerajaan negeri juga, menurut Wan Rosdy telah memperuntukkan sebanyak RM2.96 juta pada tahun ini untuk mengatasi masalah banjir di Pahang, selain menerima peruntukan RM58.18 juta bagi tujuan itu daripada kerajaan persekutuan.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri telah memperuntukan RM8.08 juta dan memperoleh RM440.59 juta daripada kerajaan persekutuan bagi tujuan mengatasi masalah banjir untuk tempoh tiga tahun mulai 2017.

Menjawab soalan tambahan Sim, Wan Rosdy berkata kewujudan Pengurusan Pasir Pahang Berhad pada 2018 juga membantu mengurangkan risiko banjir apabila kerja mengorek pasir yang dilakukan mengikut peraturan membantu mendalamkan sungai.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Datuk Seri Mohamed Jaafar memaklumkan bahawa Speaker Dewan Datuk Seri Ishak Muhammad tidak dapat menyertai persidangan kali ini kerana baru menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

“Keadaan beliau dilaporkan semakin baik dan sedang melakukan rawatan susulan di IJN. Sama-sama kita mendoakan supaya beliau kembali sembuh dan dapat berkhidimat semula seperti sedia kala,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.