Belanjawan 2021: Buatlah Keputusan Terbaik Untuk Rakyat, Negara – Dr Zambry

SELEPAS PEMBENTANGAN BAJET 2021

YB Menteri Kewangan telah melepasi tahap kritikal beliau. Pertama kali dalam sejarah hidupnya membentangkan bajet besar dalam keadaan kucar-kacir pandemik dan politik negara.

Sebagai seorang Menteri yang baru dan memikul tugas besar membentang bajet, secara peribadi saya fikir Zafrul berjaya melakukannya.

Selepas ini beliau akan diuji pula semasa sesi penggulungan.

Apapun komentar tentang kandungan bajet itu, Zafrul telah membuktikan dalam pembentangannya bahawa usaha untuk membina keseimbangan antara melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan ekonomi adalah suatu yang amat mencabar.

Kandungan penyampaian Bajet 2021 nampaknya mendapat pelbagai reaksi. Ada yang memberi tanda bagus, ada yang kritikal dan ada yang menolaknya.

Seperti yang saya sebut dalam tulisan sebelum ini, pembentangan bajet kali ini adalah sangat mencabar kerana harapan rakyat yang sangat tinggi untuk melihat bajet yang komprehensif dan mampu menangani masalah kejutan fiskal ( fiscal shock) akibat Covid-19.

Saya turut mengemukakan 21 soalan tentang kemungkinan perkara-perkara yang akan dibawa dalam Bajet 2021.

Ada yang memenuhi jangkaan dan ada yang tidak. Mungkin kerajaan mempunyai alasannya tersendiri.

Dalam dunia komunikasi yang pantas hari ini, kepintaran mencipta dan menguasai persepsi rakyat terhadap sesuatu perkara sangat hebat dilakukan.

Bayangkanlah dari sejumlah lebih RM322 billion yang dikemukakan dalam Bajet 2021, tetapi hanya dalam perkara peruntukan bajet kepada JASA sebanyak RM85.5 juta menjadi sebutan (mentioned) negatif yang paling banyak dalam sosial media.

Demikian juga dengan persoalan pengeluaran Akaun 1 KWSP dan Moratorium. Ia menjadi perbahasan hangat rakyat dan pemerintah.

Kerajaan melihat cadangan Akaun 1 tersebut dalam perspektif yang berbeza iaitu hanya dengan pengeluaran 500 setiap bulan dan melibatkan golongan yang disasarkan sahaja.

Mungkin ada hujah kerajaan iaitu jumlah kecairan sebenar yang dimiliki oleh KWSP dan kemungkinan sebahagian besar wang itu berada dalam pelaburan-pelaburan rantaian GLCs yang bakal menjejaskan teruk kedudukan kewangan KWSP sekiranya pelaburan tersebut dikeluarkan.

Ada juga yang kita dengar “racial tone” yang menganggap bajet kali ini tidak membantu kaum Cina dan India.

Tidak pernah kita mendengar sesebuah bajet dibuat hanya untuk satu kaum sahaja atau dirancang dalam kerangka “perkauman”.

Tetapi kali ini ia diulas oleh pihak tertentu dengan mencuit unsur perkauman di dalamnya.

Ia begitu serius sehingga ada “validator” dari kaum Melayu sendiri yang mengakui peruntukan dalam bajet tidak memenuhi prinsip keadilan.

Kumpulan SME pula melihat langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan tidak mencukupi untuk menghidupkan perniagaan.

Sektor-sektor terpilih bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi perlukan penekanan seperti sektor pelancungan dan usaha-usaha untuk membuka sempadan negara akibat Covid-19.

Dengan peruntukan sebanyak lebih RM322 billion, ramai yang menjangkakan akan berlaku kesan pengganda (multiplying effect) sebanyak 5 ke 10 kali. Bermakna kesan terhadap pertumbuhan mungkin menjadi 1.5 trillion ke 3 trillion ringgit.

Sekiranya ekonomi dunia mulai berkembang semula atas langkah membuka sempadan dunia, maka ada kemungkinan kita menyaksikan kesan pengganda tersebut.

Tetapi sekiranya ekonomi negara dunia masih terus mengamalkan “ekonomi tertutup” (closed economy) akibat Covid-19 yang belum diperolehi vaksinnya, maka jangkaan kesan pengganda tersebut akan menjadi tanda-tanya yang besar.

Satu perkara yang memprihatinkan ialah kedudukan Garis Purata Kemiskinan (GPK) yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM2,208. Iaitu berlaku anjakan purata sebelum ini sebanyak RM980.

Maka berapa ramaikah sebenarnya kumpulan yang miskin dalam negara kita akibat dari perubahan ini.

Yang membimbangkan kita ialah kalau selama ini hanya kategori B40 sahaja yang tergolong di dalamnya, tapi kali ini mungkin ada di kalangan M40 yang turut berada di dalamnya.

Dan jangan terkejut sekiranya sebahagian kakitangan awam yang menerima pencen bulanan dari kategori B & A mengikut skim gaji lama, bekas wakil rakyat di negeri-negeri yang menggunakan skim lama, sekarang dianggap golongan miskin.

Walaupun begitu kita lihat banyak inisiatif untuk mengurangkan bebanan golongan miskin, berpendapatan rendah, OKU, dan golongan tua, yang dikemukakan.

Ada juga yang berpandangan agar mulai sekarang kerajaan perlu lebih serius memikirkan tentang sumber makanan negara. Ia sudah menjadi isu keselamatan makanan (food security).

Bayangkan dalam keadaan kacau-bilau akibat peperangan dan penyakit yang berlaku di negara tempat kita membeli sumber darinya, maka rakyat akan menghadapi masalah bekalan makanan.

Terbaru seperti yang dilaporkan, Presiden PAN Mohammaed Sabu, membuat kenyataan beberapa hari lalu bahawa partinya tidak akan menyokong Bajet 2021. Dan ia tertakluk kepada persetujuan pihak kerajaan untuk membetulkan dan mengikut beberapa cadangan mereka.

Manakala blok Bebas yang diwakili oleh Tun Mahathir pula menyatakan dengan bersyarat untuk menyokong Bajet ini.

DS Najib pula memberikan isyarat bahawa sekiranya kedua-dua cadangan moratorium dan Akaun 1 tidak dipersetujui, pihak BN berhak untuk menilai semula persetujuan terhadap Bajet yang dibentangkan.

Akhirnya isu ini menjadi perbahasan hangat antara persoalan hikayat dan hakikat (iaitu antara YB Pasir Mas dan Ketua Pemuda Dato Asyraf).

YB Pasir Mas, Ahmad Fadhli menganggap perkara yang dibangkitkan DS Najib bagaikan cerita Hikayat Puteri Gunung Ledang, yang menunjukkan secara simbolik penolakan lamaran Sultan Mahmud oleh Puteri Gunung Ledang.

Manakala Asyraf mengingatkan ia adalah hakikat akan kesengsaraan rakyat yang disuarakan oleh pimpinan BN dalam surat DS Zahid kepada Perdana Menteri, sebelum dibangkitkan oleh DS Najib.

Dalam sesi perbahasan yang sedang berjalan sekarang ini sehinggalah 15 Disember nanti, tentunya pelbagai perkara lagi yang akan dibangkitkan oleh kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Saya pasti, apapun spekulasi tentang Bajet 2021 ini, akhirnya ia akan kembali kepada rasional dan kebijaksanaan ahli-ahli parlimen kita untuk membuat keputusan terbaik buat rakyat dan negara.

Teruskan bersidang dan berbahas, sambil meletakkan kepentingan rakyat dan negara. Ia bukan untuk sekadar menagih matlamat jangka-pendek atas survival politik.

Fikirlah apa pilihan yang terbaik buat menyelamatkan negara untuk satu tempoh jangka-panjang.

Selamat berbahas. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.