My30 Diperluas, Ringankan Belanja Pengangkutan Awam

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Langkah memperluas inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 ke Pulau Pinang dan Kuantan bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan pengangkutan awam penduduk di kawasan berkenaan, malah akan dapat meningkatkan jumlah penumpang Rapid Penang dan Rapid Kuantan yang berkurangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata inisiatif yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Raykat minggu lepas itu menyerlahkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

“Prasarana sememangnya berpendirian bahawa menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah langkah yang paling berkesan bagi meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta aktiviti-aktiviti komersial yang amat kritikal ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tempoh PKP, Rapid Penang yang mencatat secara purata sejumlah 72,000 penumpang sehari, kini hanya mencatat 36,000 penumpang sehari, sementara Rapid Kuantan pula kini secara purata mencatat 3,300 penumpang sehari berbanding 7,000 penumpang sehari pada tahun lepas.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan memperhalusi pelaksanaan pas perjalanan My30 itu sebelum membenarkan Prasarana melaksanakan inisiatif berkenaan di Pulau Pinang dan Kuantan secepat mungkin.

“Prasarana turut menyokong penuh Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti, yang mana akan diperluaskan lagi ke negeri-negeri dan bandar-bandar bagi meluaskan jaringan pengangkutan awam bas mulai tahun depan.

“Inisiatif ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan perkongsian saiz penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.

Tajuddin berkata Prasarana juga menyambut baik komitmen kerajaan dalam pembangunan infrastruktur rel, khususnya Sistem Transit Rapid Johor Bahru ke Woodland, projek High Speed Rail dan MRT3, yang akan memberikan impak secara langsung kepada jaringan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.