Johor Berhasrat Bangunkan Pusat Digital Di Iskandar Puteri

JOHOR BAHRU, 1 Nov – Kerajaan Negeri Johor berhasrat membangunkan sebuah pusat digital komprehensif atau ‘Digital Enclave’ di Iskandar Puteri dekat sini bagi memastikan pembangunan pendigitalan dapat direalisasikan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata usaha itu juga dilihat dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Johor berdaya saing dalam infrastruktur teknologi.

“Walaupun ini bukan merupakan satu inisiatif pada waktu ini, saya akan berbincang dengan pihak Iskandar Investment Berhad supaya dalam pembangunan Iskandar Malaysia, kita segerakan pewujudan satu pembangunan ‘Digital Enclave’ atau pusat pembangunan digital yang lebih komprehensif.

“Kalau Kuala Lumpur ada (Plaza) Low Yat, mengapa tidak ada juga (pusat digital seumpama itu) di Johor. Kita akan bawa segala aktiviti sokongan untuk merealisasikan pembangunan digital di Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Ekonomi Digital Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Datuk Mohd Izhar Ahmad.

Hasni juga berkata pada masa sama, kerajaan negeri memberi jaminan akan mempermudah urusan serta mengurangkan kerenah birokasi terhadap pelabur dan pihak yang ingin membangunkan infrastruktur teknologi di Johor.

“Di Johor, infrastruktur telekomunikasi perlulah dilengkapkan secara menyeluruh mencakupi setiap daerah. Kalau kita berada pada tahap 4G, perancangan untuk 5G perlulah disegerakan.

“Saya beri jaminan, pelabur dan pihak yang ingin membangunkan sama ada infrastruktur teknologi, telekomunikasi atau pengisiannya supaya datang ke Johor, saya akan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan bahawa urusan perniagaan di Johor adalah mudah dan kami akan cuba mengurangkan segala aspek birokrasi yang menjadi halangan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.