Kategori Berita Lain

Kolej Komuniti Buka Peluang Lanjut Pelajaran Bagi Individu Dapat Satu Kepujian Dalam SPM

PUTRAJAYA, 29 Jan –  Kerajaan akan memperkenal pendekatan baharu bagi meningkatkan penyertaan masyarakat menimba ilmu pengetahuan termasuk memberi peluang kepada mereka yang mendapat kelulusan minimum satu kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itutermasuk memendekkan tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) Terusan atau Jangka Panjang dari 24 bulan kepada minimum 16 bulan, selain jumlah sijil yang ditawarkan juga ditambah daripada empat pada tahun lalu kepada 11 pada tahun ini.

“Selain Sijil Kolej Komuniti Terusan dan Modular, Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas turut dilaksanakan khusus kepada pelajar yang mengalami masalah pembelajaran seperti pekak dan bisu.

“Jika sebelum ini hanya Kolej Komuniti Selayang menawarkan Sijil KemahiranKhas dalam bidang perkhidmatan perhotelan, pada tahun 2013 lima buah Kolej Komuniti lagi akan terlibat menawarkan Sijil Kemahiran Khas ini dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat, fotografi, fesyen dan pakaian, pemprosesan makanan dan pastri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Tahun Baru Kementerian Pengajian Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa.

Mohamed Khaled berkata bantuan kewangan turut diberikan kepada individu layak melalui Tabung Pinjaman Pelajar (TPP), iaitu bagi Sijil Kolej Komuniti Terusan dan pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan layak menerima bantuan RM300 sebulan.

Bagi pelajar dengan pendapatan keluarganya melebihi RM3,000 sebulan juga boleh mendapat kemudahan dalam bentuk pinjaman RM300 sebulan sepanjang pengajian.

Bagi pelajar Sijil Kolej Komuniti Modular pula, Mohamed Khaled berkata mereka yang layak boleh memohon mendapatkan wang saku RM250 sebulan.

Sementara itu, bagi menggalakkan individu bekerja menyambung pengajian mereka, permohonan kemasukan Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan PengalamanTerdahulu (APEL)) turut dibuka mulai 1 Februari ini.

“Inisiatif ini pastinya akan memikat golongan bekerja untuk belajar semulaapabila APEL mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebelum ini dan boleh diambilkira sebagai syarat untuk menyambung pengajian di peringkat Sijil dan Diploma,”katanya.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker