Kategori Pembela Rakyat, Kata Di Kota

Orang Ramai Diminta Waspada Sindiket Penipuan Lesen BL1M

KOTA KINABALU, 25 Jan – Orang ramai khususnya golongan belia disaran tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pendaftaran program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Barisan Nasional.

Pengerusi SHEB Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata langkah berwaspada itu berikutan pihaknya mengesan 27 kes sindiket terbabit di Kedah yang menawarkan perkhidmatan mengedarkan borang secara manual dan mengutip bayaran tunai.

“Kita ingin tegaskan di sini bahawa kami tidak melantik mana-mana ejen individu dan kita tidak melakukan transaksi secara tunai.

“Kami hanya menerima bayaran RM199 menerusi kiriman wang kepada My E.G. Services Bhd selaku vendor bagi mengurus program itu,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi SHEB Pemuda UMNO Sabah, Bahrul Razha Chuprat di sini hari ini.

Tengku Azman berkata pihaknya akan mengambil insiatif terbaik menangani perkara itu memandangkan masih dalam peringkat prapendaftaran dan ia akan dibuka secara rasmi bermula 1 Feb hingga 14 Feb ini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 35,000 penyertaan golongan muda dari negeri ini.

Katanya program yang menarik semua golongan belia itu mendapat sambutan baik menerusi prapendaftaran yang diterima setakat ini termasuk 3,876 orang di Sabah.

Beliau berkata pihaknya menerusi penolong setiausaha Pemuda UMNO Bahagian di di kesemua 222 kawasan Parlimen akan mengadakan pelbagai promosi untuk menarik minat golongan belia terutama menangani masalah golongan muda yang tidak mempunyai lesen di negara ini.

Program yang menyasarkan 500,000 pemohon dalam kalangan orang muda itu menawarkan kursus bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 pada kadar RM199, iaitu 50 peratus lebih rendah daripada harga biasa.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dipetik berkata program BL1M terbuka kepada warganegara berusia antara 17 dan 40 tahun dan yuran RM199 meliputi permohonan lesen, gambar, kelas latihan amali, ujian teori undang-undang berkomputer dan praktikal di institut memandu.

Orang awam yang berminat boleh mendaftar nama untuk menikmati insentif program itu melalui laman sesawang www.bl1m.my mulai hari ini dan mereka yang terpilih akan dihubungi setelah program itu dilancarkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan program itu pada akhir bulan ini.



Berita Bertarikh 25 January 2013 7:29 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker