Kategori Berita Lain

KPN Ingatkan Masyarakat Jangan Persenda Isu Sensitif Berkaitan Agama

KUALA LUMPUR, 25 Jan –  Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan masyarakat tidak mempersendakan isu sensitif berkaitan agama atau perkauman yang boleh mencetuskan perasaan marah atau benci sehingga menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata setiap orang perlu menghormati sistem perundangan negara dan menerapkan nilai moral yang tinggi.

“Sudah lama kita (rakyat Malaysia) hidup dalam perpaduan, kenapa perlu timbulkan isu-isu sensitif berkaitan agama dan sebagainya…hari ini timbul pula dakwaan kononnya ada upacara membakar Bible versi bahasa Melayu di Padang Bandaran Bagan Luar Butterworth Ahad ini.

“Beberapa individu telahpun dipanggil bagi membantu siasatan sebelum proses selanjutnya dibuat,” katanya  selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Polis Pulau Pinang menerima laporan daripada seorang paderi menemui risalah bertulis ‘jom bakar…pesta bakar bible Melayu demi masa depan cucu kita’ yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja di negeri itu Ahad lepas.

Pada majlis itu, dua anggota polis unit peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Koperal R. Subramaniam, 52, dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, yang parah ditembak sekumpulan penjenayah dalam kejadian 26 September tahun lepas dinaikkan pangkat sebagai Sarjan.

Majlis pemakaian pangkat ke atas dua anggota berkenaan sebagai menghargai jasa dan semangat juang yang dipamerkan ketika bertugas itu disempurnakan Ismail.


Berita Bertarikh Pada 25 January 2013 5:15 PM






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker