Kategori Berita Pilihan

Waspada Golongan Cuba Cabar Kredibiliti Sistem Kerajaan – Rahim

KUDAT, 25 Jan –  Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri menggesa rakyat berwaspada terhadap golongan yang cuba mencabar kredibiliti sistem kerajaan dan mempertikaikan kedaulatan undang-undang negara.

Menurutnya golongan itu berusaha melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem dan institusi kerajaan sedia ada termasuk sistem perundangan dan kehakiman, sistem pilihan raya dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya dan cuba memberi gambaran buruk keputusan kerajaan dengan mewujudkan persepsi negatif.

“Golongan ini menggunakan media alternatif yang terlalu sukar untuk diambil tindakan kerana sebahagiannya menggunakan pangkalan serangan (siber) dari luar negara, dan mereka bebas menyerang kerajaan.

“Dengan mekanisme begini mereka boleh mempengaruhi rakyat menentang kerajaan seperti mana yang berlaku di negara Timur Tengah yang mereka namakan ‘Arab Spring’. Rakyat harus faham dengan agenda besar iaitu matlamat menghalalkan cara ini,” katanya ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di Kampung Sri Aman, dekat sini semalam.

Abdul Rahim yang juga anggota Parlimen Kudat berkata perangkap yang dipasang itu dikhuatiri akan berjaya sekiranya rakyat tidak peka dan tidak cuba memahami agenda besar mereka.

“Hanya perpaduan rakyat sahaja yang boleh menjadi benteng serangan ini,” katanya.

Beliau turut mengagihkan bantuan kepada 250 orang miskin dan mengumumkan pelaksanaan projek kecil kepentingan rakyat di kampung berkenaan.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker