Kategori Berita Pilihan

UMNO Kedah Bersatu Hati Menangkan Siapa Saja Calon BN Yang Dipilih

ALOR SETAR, 14 Jan – Semua wakil rakyat UMNO di Kedah member jaminan akan bersatu hati dan bekerja secara berkumpulan untuk memenangkan sesiapa sahaja yang dipilih menjadi calon pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sudah tiba masanya untuk melupakan segala ketidaksefahaman kerana untuk menang, semua pihak perlu bersatu.

“Bagi saya dari segi perpecahan dan kepentingan diri perlu letak tepi dan perlu buang (perpecahan) dalam nak hadapi pilihan raya. Harus ada satu pasukan untuk hadapi pilihan raya dan kami ada satu pasukan yang sudah bersedia untuk menghadapi pembangkang.

“Soal calon kita serah kepada perdana menteri, siapa pun dipilih itu adalah calon yang ‘winable’ (boleh menang) dan kita perlu bekerja untuk memenangkan calon itu sebagai wakil Barisan Nasional (BN),” katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatan Kuasa Pilihan Raya UMNO Kedah, di sini Ahad.

Beliau berkata kepimpinan UMNO di peringkat negeri juga mempunyai komitmen tinggi dan sentiasa berusaha memperkasakan parti dengan menganjur pelbagai program untuk rakyat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata terdapat lebih 40 peratus pengundi muda di negeri ini yang sentiasa diberi perhatian dan didekati parti terutama sayap Pemuda dan Puteri.

“Pemuda dan Puteri sentiasa memainkan peranan untuk menarik golongan muda dan selalu ada tindakan…Kami yakin pengundi muda dah mula nampak pendekatan BN dan mereka akan bersama BN.

“Kami yakin dengan apa yang sudah dibuat, kami percaya rakyat sudah boleh menilai apa yang BN dah buat di peringkat kebangsaan dan negeri dan yakin kita akan dapat sokongan yang kuat dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Ahmad Bashah berkata jentera UMNO di peringkat negeri sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum dan perbincangan mengenai persiapan logistik serta agihan peruntukan telah dibuat.

“Walaupun kita dah bergerak sebelum ini, tapi kini harus diaktifkan lagi bermula sekarang hingga hari penamaan calon dan hari mengundi,” katanya.


Berita Bertarikh Pada 14 January 2013 11:38 AM