Kategori Presiden UMNO

Selangor Tidak Boleh Menuding Jari Pada Pihak Lain Berhubung Isu Air – Najib

SEMENYIH, 12 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas sikap kerajaan Selangor yang suka menuding jari dan menyalahkan pihak lain berhubung krisis air yang berlaku di negeri itu tanpa menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya beliau amat kesal dan sedih melihat bebanan dialami rakyat negeri itu terutamanya penghuni flat kerana terpaksa turun naik untuk mengambil air dengan baldi bagi memenuhi keperluan harian mereka.

“Saya sedih tengok orang flat, angkat baldi air ke tingkat atas, tingkat  dua bolehlah, kalau tingkat 10 macam mana? Kalau orang muda boleh, kalau dah tua macam mana nak angkat baldi? Susah rakyat.”

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata kerajaan Selangor hanya salahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita (kerajaan BN) tak boleh (selesaikan masalah air) sebab mereka (kerajaan Selangor) tak bagi ‘development order’. Kita nak buka stesen pam tambahan, mereka (kerajaan Selangor) tak bagi kelulusan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Negeri Selangor Bersama Perdana Menteri di Dataran Tesco Bandar Rincang, Semenyih, di sini hari ini.

Justeru, katanya apa yang harus lakukan kerajaan pakatan pembangkang itu  adalah mencari jalan penyelesaian terbaik bersama-sama kerajaan pusat terhadap  masalah yang semakin meruncing dan pastinya akan memberi impak pada masa akan datang.

Katanya sekiranya masalah air tidak diselesaikan segera, malapetaka lebih serius akan menimpa khususnya di Lembah Klang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun depan dan seterusnya.

Najib  berkata pembangunan dan pelaburan di Selangor juga terbantut dan tidak dapat dilaksanakan seperti dijadualkan berikutan masalah air di negeri itu.

“Kita sedar berbilion-bilion (ringgit) pelaburan di Selangor mungkin tak jadi kalau tak selesaikan masalah air. Pelabur-pelabur menunggu nak buka kilang di Selangor tetapi tertangguh kerana masalah air. Pemaju yang nak buka kawasan perumahan pun tertangguh,” katanya.

Perdana Menteri berkata akses kepada air berkualiti adalah hak asasi setiap manusia dan sehubungan itu beliau memberi jaminan sekiranya BN diberi mandat pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, masalah air dan pelbagai masalah lain akan diselesaikan secepat mungkin.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Kewangan dan Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai, Timbalan Menteri Wilayah  Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan,  Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Presiden IPF Datuk M. Sambanthan.


Berita Bertarikh Pada 12 January 2013 5:25 PM