Kategori Berita LainPresiden UMNO

Masa Depan ATM Dan Bekas Perajurit Dipertahankan – Najib

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masa depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bekas-bekas perajurit dan kesinambungan perjuangan pahlawan terdahulu akan terus dipertahankan demi kelangsungan pembinaan negara bangsa.

Perdana Menteri berkata perjuangan kerajaan membangunkan negara menjadi lebih mudah kerana bekas anggota tentera bijak menilai dengan terus meletakkan kepimpinan kerajaan yang telah terbukti berjaya pada tempat sewajarnya.

Sambil menempelak pihak yang disebutkan sebagai ‘puak sebelah sana’, Najib berkata beliau tidak boleh memberi jaminan nikmat dan penghargaan yang diterima ATM dan bekas perajurit yang diterima ketika ini berkelangsungan sekiranya kerajaan yang ada ditukar.

“Sudah tentu perjuangan kerajaan ialah untuk membina sebuah negara bangsa yang dihormati, disegani, berjaya yang kejayaannya dilihat kerana perjuangan tentera mempertahankan kemerdekaan.

“Kita berjaya kerana anda meletakkan kepimpinan negara pada tempat yang sewajarnya yang tahu mengurus negara, yang tahu menilai pengorbanan para perajurit, yang ada agenda untuk membangunkan ATM akan mempertahankan maruah ATM,” katanya.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Berucap ketika merasmikan persidangan perwakilan PBTM ke-87 dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini, Perdana Menteri berkata semangat ‘Harimau Malaya’ dan Force 136, yang tidak ingin melihat kuasa berpindah ke tangan yang lain dan ikrar untuk mempertahankan kerajaan yang ada perlu diteruskan walaupun mereka kini bergelar bekas tentera.

Najib juga berterima kasih kepada perajurit dan bekas anggota tentera yang terus meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dengan kesedaran bahawa masa depan negara, ATM dan PBTM tidak boleh dipisahkan dengan kerajaan sedia ada.

“Siapa boleh jamin masa depan kita, siapa boleh menjamin kelangsungan Rejimen Askar Melayu Diraja tanpa kerajaan yang ada hari ini, tepuk dada tanya selera.

“… Dan inilah sebenarnya mengapa kita berjuang, mengapa kita meletakkan ‘nyawa kita dihujung tanduk’ sebagai para perajurit yang telah berjuang selama ini, sebab itulah negara terhutang budi pada anda semua,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak para perajurit dan PBTM yang dianggotai oleh lebih 200,000 untuk memperbaharui ikrar melangsung dan meneruskan perjuangan untuk membina negara kerana kini bukan masa untuk membuat percubaan atau bermain-main, kerana tindakan itu bakal memberi sesuatu kesan yang besar kepada negara.

“Kalau sebelum ini sebahagian daripada rakan-rakan kita telah terkorban dimedanperang, mengenang mereka satu bab, tapi yang lebih penting ialah perjuangan mereka itu belum lagi berkesudahan dan perlu diteruskan walau kita telah menjadi bekas tentera,” katanya.

Pada majlis itu Najib menyerahkan replika cek berjumlah RM224 juta kepada Ahmad Zahid yang kemudiannya menyampaikannya kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, sebagai simbolik pelancaran penyerahan sumbangan RM1,000 secara sekaligus kepada 224,000 orang veteran ATM tidak berpencen.



Berita Bertarikh 4 January 2013 11:46 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker