Kategori PAU 2012

Ambil Iktibar Negara Tak Laksana Pemerintahan Secara Demokratik – Tun Mahathir

MELAKA, 4 Dis – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada negara yang tidak dapat melaksanakan pemerintahan secara demokratik kerana rakyat taksub kepada pemimpin.

Keadaan itu, katanya berlaku kerana rakyat mengundi semata-mata berdasarkan perasaan tanpa menggunakan pemikiran sehingga negara menuju kehancuran.

“Sebagaimana penyokong parti Pas, walaupun pemimpin mereka jelas menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetapi kerana Pas parti dia, dia sokong kerana emosi dan taksub,” katanya  selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Ketahanan Nasional kali ketiga yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dr Mahathir berkata parti pembangkang di negara ini tidak mempunyai haluan dalam gabungan mereka berbanding Barisan Nasional yang bersepakat dan mempunyai organisasi serta matlamat dalam membentuk kerajaan.

Beliau berkata pakatan tiga parti iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada satu haluan dan kesepakatan, misalnya Pas yang mahu melaksanakan kerajaan Islam dan PKR yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Ketika ditanya sama ada kini adalah waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum, beliau berkata ia bergantung kepada penilaian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya nampak semangat baik sekarang ini, kita perlu rapatkan barisan kita supaya kita dirikan sebuah kerajaan yang kuat dengan majoriti dua pertiga,” katanya.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker