PKPP: PDRM Tahan 127 Individu Ingkar Pakai Pelitup Muka Semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 315 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), antaranya adalah 127 kesalahan tidak memakai pelitup muka yang berkuat kuasa mulai semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain adalah 38 individu ditahan kerana tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) manakala 150 orang ditahan kerana menyukarkan penjarakan fizikal.

“Daripada jumlah 315, seramai tiga individu telah direman manakala 312 individu pula dikenakan kompaun. Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PDRM itu juga membuat 63,473 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan  PKPP hari ini.

Bagi kawalan sempadan negara, PDRM membuat 64 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 35,459 kenderaan untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, PDRM turut melakukan 2,263 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam.

PDRM telah mengambil tindakan terhadap 28 individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan.

Seramai 4,286 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 16 Hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) dan cawangannya di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor, sejak 24 Julai sehingga semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata mereka telah pulang dari 24 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea dan Australia. –  BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.