Kategori Presiden UMNO Utama

Kerajaan BN Ada “Road Map” Jelas Untuk Masa Depan Rakyat Dan Negara – Najib

KUALA LUMPUR 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan yang dikecapi oleh negara hari ini boleh ditingkatkan lagi dengan penuh cemerlang kerana kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) mempunyai hala tuju yang jelas.

Menurut beliau ‘road map’ berkenaan boleh menjadikan negara ke arah yang lebih baik dengan tumpuan terhadap rakyat secara adil dan saksama demi kepentingan bersama khususnya untuk kepentingan negara.

“Kita boleh jadikan Malaysia ini lebih baik lagi sebab sudah ada ‘road map’. ‘Road map’ kita dah jelas, terang….. jangan macam buku jingga. Janji macam-macam, kita tidak main janji, kita tunaikan dan kita laksanakan.

“Tengok dalam suratkhabar hari ini 2,000 ibu tunggal nak saman kerajaan negeri, janji 100 sebulan kalau menang tubuh kerajaan. Hari ini orang dah nampak sekarang, kredibiliti mereka boleh dipersoalkan. Kita di Malaysia penuh dengan pengharapan yang jauh lebih baik daripada hari ini dan kita telah buktikan segala-galanya,“ katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Barisan 1Malaysia di Dewan Merdeka, PWTC, di sini, hari ini. Turut Hadir Pengerusi Himpunan Datuk Hj Ahmad Maslan, Pengerusi-Pengerusi NGO serta wakil-wakil yang terlibat serta pimpinan BN.

Terdahulu sebelum ucapan perasmian, tiga sesi pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh akademik dan aktivis terkenal tanah air. Hampir 1500 NGO terlibat dalam program berkenaan.

Datuk Seri Najib seterusnya menambah kejayaan negara hari ini adalah berasaskan kepada kerjasama dan permuafakatan seluruh rakyat termasuk kalangan NGO serta parti politik.

“Kita memahami bahawa untuk mendapatkan sokongan rakyat kita tidak boleh lagi tertumpu dan memberi fokus kepada parti siasah sahaja walaupun tidak boleh dinafikan parti politik tetap merupakan jentera dan institusi yang sangat penting.

“Sebab itu kita iktirafnya…..sebab itu Barisan Nasional (BN) faham bahawa masa depan negara ini bergantung kepada permuafakatan kerjasama dengan NGO-NGO dan ‘sivil society’ masyarakat madani.

“Dan kita seharusnya bawa dengan kita sebagai rakan kongsi kita, sebagai rakan seperjuangan kita yang faham bahawa untuk mencapai matlamat mentransformasikan negara, kita kita perlu dokongan masyarakat madani dan juga NGO-NGO malah setiap komuniti kecil dan besar mesti bersama meniti arus perubahan besar yang nak dibawa oleh kita,” katanya.

Tambah Datuk Seri Najib lagi jika kelompok komuniti bergerak dalam kumpulan masing-masing negara dan rakyatnya tidak akan berjaya.

“Saya telah mula dengan Gagasan 1Malaysia……sebab saya faham dan kita mesti terima hakikat bahawa kalau kita bergerak dalam kelompok komuniti masing-masing ibarat macam enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, kita tidak akan jadi bangsa yang berjaya.

“Kalau kita bermentaliti kelompok kita buat hal kita, kelompok lain buat cara dia, tetapi kita tidak cari titik pertemuan maka negara kita tidak mungkin menjadi sebuah negara hebat dan berada di saf hadapan.

“Kita faham bahawa kelainan ini tidak seharusnya menjadikan kita ini bergerak dalam kelompok masing-masing apatah lagi saling bertentangan antara satu sama lain sepertimana saya nak sebut bahawa kalau kita bertindak secara kolektif, kebersamaan, kita lebih kuat.

“Apabila kita berhimpun dalam dewan ini atas nama Barisan 1Malaysia, kita beri isyarat dan signal yang cukup kuat. Siapa kata NGO tidak sokong kerajaan, siapa kata orang muda tidak sokong kerajaan, siapa kata orang tua tidak sokong kerajaan.

“Jadi kita berhimpun kerana apa..kerana kita cinta kepada negara kita….kita membesar di sini, dan satu hari nanti kita akan disemadikan di sini juga. Tidak ada tempat lain bagi kita….Malaysia. Sebab itu kita nak lakukan yang terbaik untuk negara kita,” katanya.

Pada akhir himpunan Pengerusi Himpunan, Datuk Ahmad Maslan menyerahkan deklarasi himpunan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Deklarasi Barisan 1Malaysia

Bahawasanya kami Barisan Rakyat 1Malaysia yang berhimpun pada hari ini dengan tulus dan ikhlas, merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas kebijaksanaan menerajui negara Malaysia yang tercinta.

Atas kesedaran dan keinsafan yang mendalam, kami berjanji dan berikrar bahawa sesungguhnya kami;

Berazam untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara Malaysia, menjunjung tinggi perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara bagi menjamin kestabilan politik dan keutuhan perpaduan rakyat berbilang kaum agar terus hidup dalam suasana rukun, damai, aman dan sejahtera.

Berazam untuk terus membangunkan negara dengan membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang boleh meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat di semua peringkat, sesuai dengan matlamat Wawasan 2020.

Berazam untuk terus memerangi segala bentuk penyelewengan, rasuah, salahguna kuasa, fahaman sempit perakauman, sikap chauvinisme dan melampau demi kesejahteraan agama, bangsa dan tanah air.

Berazam untuk meningkatkan kualiti hidup dan jati diri, keluarga dan masyarakat, agar sentiasa dihormati dan dicontohi di peringkat lokal dan global menerusi rasa kasih sayang dan cinta terhadap negara, semangat kesukarelaan dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk memaju dan memakmurkan negara.

Demi keazaman dan iltizam ini sesungguhnya kami Himpunan Barisan Rakyat 1Malaysia yang berhimpun pada hari ini akan bekerja bersungguh-sungguh merealisasikan kemenangan Untuk Masa Depan Rakyat pada PRU-13 akan datang.

1Barisan – 1Bangsa – 1Negara – 1Matlamat – 1Malaysia

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Himpunan Barisan 1Malaysia

Kuala Lumpur

SABTU, 24 November 2012

Pada akhir himpunan Pengerusi Himpunan, Datuk Ahmad Maslan menyerahkan deklarasi himpunan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. -MediaUMNO






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker