Fitnah: TNB Tidak Pernah Keluarkan Kenyataan ‘Kerajaan Sudah Beri Bermacam Imbuhan’


KUALA LUMPUR, 16 Jun – Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan pernah mengeluarkan kenyataan ‘kerajaan sudah beri bermacam imbuhan sepanjang PKP’.

Beliau menegaskan bahawa TNB sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kegelisahan rakyat.

“Saya menafikan bahawa saya pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang sedang ditularkan. Kami di TNB sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kegelisahan rakyat Malaysia berkenaan isu semasa,” katanya dengan tegas.

Dalam satu kenyataan yang tular hari ini mendakwa Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata: ‘pelbagai mbuhan telah kerajaan berikan sepanjang PKP, adalah tidak adil untuk memarahi kerajaan atas kenaikan sedikit bil TNB ini. Jadilah rakyat yang tahu bersyukur bukan bunyi macam-macam yang salahkan kerajaan’.

Sehubungan itu, beliau meminta untuk merujuk kenyataan rasminya semalam iaitu:

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera kepada seluruh Rakyat Malaysia yang dikasihi.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, operasi bacaan meter TNB terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Oleh yang demikian, bacaan meter secara anggaran terpaksa dilakukan dan dihantar kepada para pelanggan TNB untuk tempoh dua bulan (Mac dan April) melalui aplikasi myTNB.

Sejajar dengan perkembangan semasa, operasi bacaan sebenar meter TNB telah dimulakan kembali sejak 15 Mei yang lalu. Bil terkini yang diterima oleh para pelanggan adalah penggunaan sebenar sejak PKP bermula.

Saya mengambil maklum akan keluh kesah dan rungutan yang diluahkan oleh Rakyat Malaysia setelah menerima bil TNB tersebut.

Oleh itu, selaku Pengerusi TNB, saya dan seluruh pengurusan TNB serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersama-sama Suruhanjaya Tenaga sedang meneliti beberapa mekanisma untuk menangani rungutan yang disuarakan. InsyaAllah, doakan kami menemui jalan penyelesaiannya.

Adalah menjadi misi saya untuk merakyatkan TNB apabila ditawarkan jawatan sebagai Pengerusi TNB oleh YAB Perdana Menteri. Misi ini akan kekal selagi saya menyandang jawatan tersebut.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menafikan dakwaan sesetengah pihak yang sedikit nakal mengenai elaun yang diterima oleh saya sebagai Pengerusi TNB. Elaun sebenar yang diterima adalah jauh lebih rendah. Cukup saya katakan terlalu rendah daripada apa yang ditularkan.

Saya amat berharap penjelasan yang dinyatakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahan dalam kalangan Rakyat Malaysia seterusnya memberikan kelegaan.UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.