KOTA KINABALU, 18 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyeru warga Malaysia di Sabah supaya terus berpegang teguh kepada konsep 1Malaysia yang ilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata perpaduan dan kestabilan kini adalah hasil komitmen dan kesungguhan seluruh rakyat negara ini, yang cintakan keamanan dengan sentiasa berusaha memelihara serta mengekalkannya.
“Ini sekaligus bertepatan dengan konsep 1Malaysia cetusan Perdana Menteri kita, dan saya yakin ia merupakan satu cara untuk kita semua sentiasa memberi fokus untuk menyokong satu sama lain dalam waktu susah mahupun senang.
“Saya mahu warga Malaysia di Sabah bukan sahaja memahaminya, tetapi turut menghayati dan mengamalkannya,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Aidilfitri.
Musa berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) memiliki rekod cemerlang dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan, tanpa mengira latar belakang dan meminggirkan mana-mana kaum.
“Namun, kita tidak pernah terlepas daripada menjadi bahan fitnah dan tohmahan pihak-pihak tertentu. Justeru, saya menggesa para pemimpin agar memberi penjelasan kepada rakyat tentang hal yang sebenar bagi menangkis segala tohmahan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu, yang cuba memutarbelitkan fakta,” katanya.
Mengulas pembangunan negara, Musa berkata pada tahun lepas sahaja, pelbagai langkah dilakukan bagi melaksana Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
“GTP baru-baru ini melancarkan versi 2.0 dan merupakan peta yang menandakan arah tuju tujuh Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).
“Inisiatif sebegini, yang selari dengan program lain termasuk Rancangan Malaysia ke-10, merupakan bukti komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang lebih baik untuk semua warganya,” katanya.
Beliau juga berkata di peringkat negeri, Halatuju Pembangunan Negeri atau Agenda Pembangunan Negeri dan Koridor Pembangunan Sabah kini di landasan yang betul, dan membuahkan hasil sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri serta memperbaiki kehidupan rakyat.
Sementara itu, di KUCHING, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yakin Universiti Teknologi Bahagian Negeri Sarawak yang bakal didirikan di Sibu, dapat memberi peluang, khasnya kepada anak tempatan luar bandar, untuk menceburkan diri dalam bidang teknikal bagi mencapai pendapatan lebih tinggi pada masa akan datang.
Beliau berkata baru-baru ini, Perdana Menteri bersetuju meluluskan satu lagi universiti bagi mengumpul dan menyusun program pelajaran tinggi yang akan menekan kepada keperluan pembangunan teknikal, terutama dalam pelaksanaan pembangunan koridor wilayah Sarawak (Score).
“Bagi Sarawak, saya fikir pendapatan purata negeri akan meningkat lebih daripada RM45,000 mulai 2020 dengan satu syarat, iaitu anak-anak muda kita patut mempunyai cita-cita lebih tinggi dan mencebur diri dalam pelajaran teknikal,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya di sini hari ini.
Selain berjaya mendirikan empat universiti di Sarawak, Abdul Taib berkata kerajaan akan membuka banyak lagi sekolah teknikal dalam tempoh 10 tahun akan datang.