Kategori Berita Lain

JAKIM Jalin Kerjasama Kajian Kefatwaan Dengan Tiga IPTA

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat julung kalinya menjalin kerjasama dalam bidang kajian kefatwaan dengan tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kerjasama itu melibatkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang akan menjalankan kajian dalam bidang; sains dan perubatan, ekonomi dan kewangan, farmaseutikal dan muamalat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata keperluan penyelidikan berhubung isu kefatwaan dilihat sesuatu yang mendesak ketika ini.

“Kita tidak boleh melihat atau beri respons sahaja sebaliknya memerlukan data dan fakta kajian yang mampan supaya pandangan hukuman yang diberikan menepati, relevan dan difahami semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu, di sini hari ini.

Dr Abdul Shukor berkata selain dapat membantu meningkatkan kewibawaan Jawatankuasa Majlis Fatwa MKI, kajian itu juga kelak dapat membantu muzakarah jawatankuasa tersebut dalam membuat penentuan hukum.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa MKI juga berhasrat menjalinkan kerjasama serupa dengan agensi berkaitan di luar negara.

Katanya, buat permulaan lima kajian akan dijalankan, iaitu kuantiti dan stabiliti DNA Babi yang diekstrak daripada daging campuran dan produk diproses menggunakan kaedah kimia iaitu ‘Tindak Balas Rantaian Polimeres Masa Sebenar TaqMan’ bersama UPM.

Kerjasama dengan UTM pula membabitkan kajian mengenai Pengurusan Zakat Asnaf Riqab dan Gharimin: Satu Analisis Kontemporari, katanya.

Tiga kajian lagi dengan USIM melibatkan topik :- Tahap Keterlibatan kepercayaan dan Amalan Masyarakat Islam Terhadap Perkara-Perkara Khurafat Serta Cadangan Penyelesaiannya, Kajian Mengenai Mem’bin dan Mem’binti Anak Tidak Sah Taraf Menurut Perspektif Syarak, Undang-Undang dan Sosial serta Pengurusan Pengagihan Zakat di Malaysia: Kedudukan Bukan Islam Sebagai Penerima Zakat Dan Garis Panduan Pemindahan Dana Zakat.

Kajian memakan masa antara empat bulan hingga setahun, tambah beliau.


Berita Bertarikh Pada 13 August 2012 3:58 PM