Kategori Eksklusif

Slogan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ Pembangkang Tak Realistik – Prof Halim

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Cadangan pakatan pembangkang untuk menggantikan tema sambutan Hari Kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ kepada ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ tidak bertepatan dengan masyarakat Malaysia khususnya dalam kepelbagaian kaum di Malaysia selain ia digunakan untuk menutup janji-janji mereka yang gagal ditunaikan.

Penganalisis politik tempatan, Prof Datuk Dr. Abdul Halim Sidek melihat cadangan tersebut sebagai tidak sesuai memandangkan rakyat Malaysia sendiri adalah terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Kita adalah satu warga Malaysia yang mempunyai berbagai-bagai bangsa bukan saja Melayu, Cina dan India tetapi di Sabah dan Sarawak saja ada berpuluh-puluh bangsa yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Semalam pakatan pembangkang yang telah mempertikaikan tema Hari Kebangsaan ‘Janji Ditepati’ telah mengumumkan pihaknya memilih tema “Sebangsa Senegara Sejiwa” sebagai tema alternatif atas alasan dilihat lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat dan negara tanpa ada sebarang agenda politik.

“Pakatan pembangkang mencadangkan tema tersebut kerana tidak bersetuju ‘Janji Ditepati’ lantaran mereka sendiri tidak pernah menepati janji untuk menjaga kebajikan rakyat di negeri-negeri tadbiran mereka, jangankan soal air malah soal sampah pun tidak dapat diuruskan dengan baik.

“Kononnya sejiwa sedangkan realitinya dalam pakatan pembangkang sendiri tidak pernah mempunyai maksud yang sama dalam membuat keputusan apatah lagi untuk saling menjiwai idealogi dalam ketiga-tiga parti iaitu Pad, Dap dan PKR.”

Ujarnya yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pemilihan tema ‘Janji Ditepati’ adalah gambaran realiti sebenar yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak hampir 55 tahun kemerdekaan dikecapi.

“Hakikat sebenar bahawa janji untuk mendapatkan kemerdekaan, perpaduan, pembangunan, pemodenan dan transformasi telah dilaksanakan dengan jayanya oleh kerajaan malah generasi hari ini dapat mengecapi kedamaian dan kesejahteraan hasil daripada perancangan dan pelaksanaan janji-janji kerajaan yang ditunaikan.

“Apa masalahnya dengan tema ‘Janji Ditepati’ kerana ia adalah kenyataan yang mesti diterima oleh rakyat termasuklah pakatan pembangkang sendiri sehinggakan mereka juga dapat peluang ekonomi dan menambah kekayaan dari semasa ke semasa hasil kerajaan yang sentiasa menepati janji.”

Tambahnya, persoalan mengapa baru sekarang tema ini diangkat bukanlah isu kerana sepanjang usia kemerdekaan negara pelbagai cabaran yang dilalui tidak pernah menggagalkan usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat malah kadar celik huruf meningkat dan Malaysia menjadi antara negara yang berkembang pesat dan termaju di rantau ini.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah lari daripada matlamatnya dan tema tersebut dibuat berdasarkan bukti dan bukannya angan-angan kososng sebagaimana pakatan pembangkang.” - MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 2 August 2012 3:42 PM