Kategori Utama

Lajim Ada Pun Tak Menambah Tiada Pun Tidak Mengurang – Idris

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron menyifatkan tindakan Datuk Seri Lajim Ukin yang keluar dan melepaskan semua jawatan dalam UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) tidak meninggalkan apa-apa kesan berikutan kewujudannya dalam parti adalah ibarat melukut ditepi gantang yang ada tak menambah dan tiada pun tidak mengurangkan apa-apa.

Katanya, lebih dari itu UMNO akan menjadi parti yang bertambah baik daripada sebelumnya apabila orang seperti Lajim tiada dalam parti.

“Lajim Ukin mestilah ingat bahawa beliau menjawat jawatan di dalam parti adalah sebagai amanah dan dipilih oleh ahli beliau untuk membantu Presiden iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak manakala jawatan timbalan menteri pula adalah sebagai kepercayaan oleh ketua negara kepada beliau,” katanya kepada UMNO-Online.

Lajim telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta merta Sabtu lalu di kediamannya di Likas Jaya selain mengisytiharkan gerakan ‘Pakatan Perubahan Sabah’ (PPS) serta mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin pakatan pembangkang.

“Lajim adalah seorang opportunis yang terdesak dan mengambil jalan pintas kononnya ganjaran yang diperolehi ketika beliau melompat parti 18 tahun dulu akan berulang, sehingga Lajim pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah pada satu ketika walaupun tidak layak berbanding dengan pemimpin lain di Sabah.

“Sebagai pemimpin lama beliau tidak perlu menguji Presiden parti yang juga Perdana Menteri untuk melihat sejauhmanakah beliau diperlukan atau memberi kesan kepada BN sendiri.”

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, sudah terang lagi bersuluh bahawa apa yang dilakukan oleh Lajim ada kaitan secara langsung dengan kepimpinan pakatan pembangkang khususnya PKR.

“Lajim cuba nak berselindung atas alasan idealisme perjuangan bahawa kononnya Sabah mahukan perubahan sedangkan beliau sendiri adalah kepimpinan negeri Sabah yang telah menikmati elaun timbalan menteri hampir cukup satu penggal, jadi mengapa sekarang baru mahu berjuang?” soalnya lagi.

Tegasnya, Lajim telah digula-gulakan oleh pakatan pembangkang dan barangkali kepimpinan pakatan pembangkang telah menjanjikan jawatan Ketua Menteri Sabah jika pakatan tersebut berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Lajim menerima surat tunjuk sebab daripada UMNO dan perlu menjawabnya dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan UMNO. – MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 1 August 2012 11:57 AM