KUALA LUMPUR 27 Julai – Jawatan Exco agama di Selangor pun tidak mampu untuk diambil balik, ada hati Pas mahu melaksanakan negara Islam dan hukum hudud sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum ke -13 nanti.
“Saya tidak mahu memperlekehkan Pas tetapi itulah hakikatnya. Bukankah selepas Datuk Hasan Ali ditendang dengan hina daripada Pas, jawatan Exco agama yang dipegang oleh beliau kini diambil alih oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pas hanya diberikan Timbalan sahaja”, kata penceramah bebas, Ustaz Sarjat Ali.
Tegas beliau apakah pemimpin Pas tidak malu kepada pengikut serta penyokong mereka sendiri apabila sanggup melontarkan lagi kata-kata untuk melaksanakan negara Islam sedangkan realitinya menunjukkan Pas sekadar parti ikutan.
“Jika jawatan Exco agama pun tidak mampu diselesaikan, usah mimpilah untuk mereka berkeras dalam isu yang lain apabila berdepan dengan sekutunya DAP dan PKR. Isu arak di Selangor, apa cerita…. .Di Pulau Pinang kecoh sekejap isu perlantikan Yang Dipertua MAIPP.
“Kalau kita nak senaraikan satu persatu di sini panjanglah pula nanti. Cumanya itulah yang saya ingin kongsi bersama umat Islam. Allah s.w.t beri peluang kepada Pas untuk duduk bersama dengan PKR dan DAP memerintah….Kita lihat dan nilailah sendiri,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu hukum hudud yang timbul sekali lagi antara pemimpin pembangkang terutama Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan.
Karpal baru-baru ini menafikan dakwaan Nasrudin kononnya beliau sedia berkompromi dalam soal hudud.
Ia berikutan kenyataan Nasrudin ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya minggu lalu yang mendakwa Karpal bersedia melaksanakan hukum berkenaan bersama Pas.
Terbaru, dilaporkan Pas tetap berkeras akan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun tidak dipersetujui oleh rakan sekutunya, DAP.
Ustaz Sarjat seterusnya menambah pemimpin Pas seharusnya mempunyai keberanian dan bukannya sekadar menjadi parti ikutan dalam usaha menjadikan apa yang dilaung-alungkan itu menjadi realiti.
Tegas beliau rakyat khususnya umat Islam sudah sedar dan tahu perjuangan menggunakan agama tidak akan ke mana kerana sesunggunhya Allah s.w.t melindungi agamanya iaitu agama Islam. -MediaUMNO