TAMPIN, 17 Julai – Kerajaan tidak membezakan peruntukan yang diagihkan sama ada kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebagai contoh setiap tahun kerajaan membelanjakan purata RM2.235 juta untuk SJK Cina, RM1.19 juta untuk SJK Tamil dan RM2.26 juta untuk Sekolah Kebangsaan.
“Jadi, perbezaannya tidak banyak bagi kos perbelanjaan antara Sekolah Kebangsaan dan SJK,” katanya pada majlis perasmian bangunan baru SJK Cina Kampung Baru Tampin di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran yang diiringi isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman adalah dalam rangka lawatan rasmi ke sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Selain itu, katanya kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.8 bilion setahun bagi membayar gaji guru di sekolah Cina (rendah dan menengah) manakala untuk guru di SJK Tamil sebanyak RM1.9 bilion setahun.
Katanya daripada laporan yang diterima beliau, sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) untuk SJK kerajaan membelanjakan RM159.7 juta untuk 1,000 buah projek manakala RMK-9 untuk 305 projek membabitkan perbelanjaan RM247 juta.
“Kemudian dalam RMK-10 untuk 66 buah projek dan baru-baru ini saya telah mendapat peruntukkan khas Perdana Menteri berjumlah RM100 juta untuk SJK Cina, RM100 juta untuk SJK Tamil, RM100 juta untuk sekolah Methodist dan RM100 juta untuk sekolah agama. Di samping itu, ada juga peruntukan khas lain,” katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan membelanjakan lebih RM5 bilion untuk projek pembangunan sekolah di seluruh negara, membabitkan sama ada Sekolah Kebangsaan, SJK Cina dan Tamil serta sekolah agama bagi memastikan kualiti pendidikan di negara ini sentiasa baik dan setanding negara maju.
“Apa yang paling utama adalah kualiti pendidikan. Setiap hari kita (kerajaan) akan mencari jalan bagaimana mutu pendidikan kita mesti diperbaiki.
“Saya tengah membuat laporan mengenai sistem pendidikan negara ini yang kita dapat menerusi dialog yang diadakan di setiap negeri dan laporan itu bakal saya bentangkan kepada Perdana Menteri minggu depan.
“Kita akan mengambil semua sekolah tanpa mengecualikan mana-mana sekolah kebangsaan, SJK, sekolah mubaligh dan sekolah agama kerana kita mahu melihat mutu pelajaran kita setanding negara maju, meningkat dan cemerlang,” katanya.