KUALA LUMPUR 17 Julai – Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Anuar Abd Manap berharap seluruh ahli pergerakan Pemuda bahagian berkenaan menggunakan sepenuhnya mesyuarat Pemuda UMNO bahagian itu September depan sebagai medan terbaik untuk memberikan pendapat serta pandangan khususnya persediaan jentera Pemuda untuk berdepan pilihan raya umum nanti.
“Sebagai Ketua Pemuda Sekijang, saya seboleh-bolehnya mengharapkan pelbagai input daripada ahli Pemuda dalam usaha memperkemaskan lagi jentera yang ada untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) nanti.
“Gunalah ruang dan platform itu sebaik mungkin dan insyaallah, kepimpinan Pemuda Sekijang akan memperhalusi dan kita sama-sama melaksanakan apa yang diutarakan,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Bercakap lebih lanjut beliau seterusnya melontarkan beberapa cadangan termasuklah soal memperkasakan lagi jentera Pemuda BN.
“Ini antara cadangan saya selain daripada soal kajian sikap dan bagaimana untuk memperkasakan lagi jentera sedia ada terutama di kalangan rakan-rakan Pemuda parti komponen.
“Itu merupakan medan yang sesuai dengan jangka waktu pilihan raya umum yang semakin hampir, sewajarnya perkara itu turut mendapat perhatian agar jentera Pemuda BN terus ampuh.
“Kita percaya hubungan rapat yang sedia terjalin antara kepimpinan Pemuda BN di peringkat pusat, negeri serta bahagian dan seterusnya cawangan dapat dipereratkan dengan lebih mendalam selain strategi lain untuk memperkukuhkan lagi jentera Pemuda,” katanya. -MediaUMNO