Kategori Dari Parlimen

5,352 Penyewa Beli Rumah Pangsa Di Bawah Program PPR-MTEN Dan PA DBKL

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Sebanyak 5,352 penyewa telah menyelesaikan proses pembelian rumah pangsa di bawah program Projek Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kerajaan telah meluluskan penjualan 44,146 unit rumah di bawah program itu dan dijual kepada penyewa sedia ada melalui proses pembelian biasa dan bukan sewa beli.

“Sehingga Mei lalu, 37,133 unit flet telah ditawarkan kepada penyewa di bawah program itu. Daripada jumlah tawaran tersebut (37,133), 11,823 telah memberi maklum balas ingin kekal menyewa,” katanya¬† menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader di Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga 21 Jun lalu, sebanyak 4,466 penyewa bersetuju menerima tawaran skim pembiayaan khas dan senarai 4,194 permohonan telah dihantar kepada Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan.

“Surat tawaran Skim Fasa Kedua melibatkan lebih kurang 10,798 penyewa yang telah diberikan surat tawaran telah mula diedarkan secara berperingkat oleh DBKL,” katanya.

Raja Nong Chik berkata kerajaan berharap melalui skim penjualan perumahan itu nanti akan memberi peluang yang lebih baik kepada rakyat, khususnya di Wilayah Persekutuan untuk memiliki rumah sendiri.


Berita Bertarikh Pada 17 July 2012 4:14 PM