Kategori Dari Parlimen

Kaedah Untuk Parti Politik Bentangkan Manifesto Menerusi RTM Masih Dikaji

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Menteri Penerangan Komunikasi dan  Kebudayaan sedang mengkaji garis panduan dan syarat-syarat bagi membenarkan parti politik membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya Datuk Joseph Salang berkata kementeriannya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memperhalusi perkara tersebut sebelum membenarkan mana-mana parti bukan Barisan Nasional memperkenalkan manifesto masing-masing.

“Ini adalah bagi menyempurnakan prinsip dan tuntutan supaya setiap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya berpeluang menerangkan isi dan tujuan utama manifesto mereka,” katanya semasa menjawab soalan Senator Saiful Izham Ramli.

Salang berkata RTM akan menyiarkan manifesto Pilihan Raya parti-parti bertanding berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan mengikut kesesuaian penjadualan rancangan dan masa siaran RTM.


Berita Bertarikh Pada 16 July 2012 4:44 PM