Kategori Dari Parlimen

46 Kes Pemandu Teksi Kenakan Tambang Melebihi Kadar Direkod – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Setakat ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) telah merekodkan 46 kes kesalahan pemandu teksi mengenakan tambang melebihi kadar dibenarkan di negara ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,823 kes pelbagai kesalahan yang dilakukan pemandu teksi.

Katanya pemandu teksi bersalah akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 Seksyen 22 (3) yang menyatakan mana-mana pemandu melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 tetapi tidak lebih RM5,000 atau boleh dipenjarakan tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Ahmad berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong yang meminta penjelasan mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadap pemandu teksi di ibu kota yang sengaja tidak menggunakan meter semasa membawa penumpang.

SPAD, sebuah badan berkanun, ditubuhkan pada 3 Jun 2010 berfungsi untuk menasihat dan menyediakan dasar pengangkutan awam darat, membuat perancangan, menjalankan pengawalseliaan dan penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Ahmad berkata kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperbaiki imej perkhidmatan kenderaan awam yang uzur, daif serta kotor selaras dengan hasrat menjadikan negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM150 juta kepada pengusaha bas henti-henti, bas sekolah dan bas mini untuk meningkatkan perkhidmatan bas, membaik pulih serta menyelenggara bas.

“Terkini, kerajaan telah melancarkan program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) pada 24 Jun lepas dengan pemberian baucer tayar bernilai RM520 melibatkan 66,538 pemandu teksi serta kereta sewa seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM35 juta,” katanya.

Ahmad berkata kerajaan amat menitik berat isu berkaitan perkhidmatan kenderaan awam di negara ini kerana ia boleh menjejaskan imej negara di mata pelancong asing jika tindakan serta inisiatif tidak diambil segera bagi menanganinya.


Berita Bertarikh Pada 16 July 2012 4:42 PM