Kategori Eksklusif

`Kabinet Bayangan’ Ibarat Duri Dalam Daging Kepada Pembangkang

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Pembangkang hanya berani menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri kerana perkara itu sudah pun diketahui umum dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti kecuali Pas yang masih dilihat cuba mengelak untuk memberi pengesahan.

Namun untuk membentuk satu kabinet bayangan, pembangkang terpaksa berhati-hati kerana pengumuman yang dibuat oleh menimbulkan pelbagai masalah terutama membabitkan potfolio, individu yang bakal menjawat jawatan serta jumlah pembahagian di kalangan ketiga-tiga parti terbabit.

Penganalisis politik tempatan, Prof Datuk Dr. Zainal Kling berkata permasalahan itulah menyebabkan pembangkang sehingga kini masih tidak mampu untuk menyenaraikan kabinet bayangan mereka walaupun Anwar pernah menyatakan untuk mengumumkan perkara itu.

“Jika kabinet bayangan itu diumumkan, sudah tentu ada pihak serta individu yang tidak berpuas hati dan ini boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah lain di kalangan mereka, sedangkan jumlah pengagihan kerusi pun sudah menjadi topik hangat di kalangan mereka.

“Kabinet bayangan ini boleh diibarat seperti `duri dalam daging’, ia bukan sahaja timbul permasalahan di kalangan parti malah mungkin juga akan membabitkan penyokong serta pandangan masyarakat,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Menurutnya, berikutan perkara itu pembangkang terus sedaya upaya tidak mengumumkan `kabinet bayangan’ mereka dan cuba mengelak dan cara terbaik ialah untuk berdiam diri walaupun diasak oleh pelbagai pihak.

“Sebarang kesilapan membawa padah, lebih baik mereka mendiam diri, isu jawatan Perdana Menteri masih lagi belum ada kata putus walaupun Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP sudah menyatakan pendiriannya namun belum ada kata putus kerana Pengerusi DAP, Karpal Singh belum mengiayakan apa yang dinyatakan Guan Eng.

“Karpal pernah menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri tidak semestinya di kalangan orang Melayu sahaja kerana ia tidak termaktub dalam perlembagaan  dan pernah menegaskan calon bukan Melayu akan menyandang jawatan berkenaan suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkeyakinan pembangkang tidak akan mengumumkan `kabinet bayangan’ mereka sehingga tiba pilihan raya umum nanti kerana perkara itu boleh membawa musibah yang akan merugikan mereka untuk mendapat sokongan bukan sahaja daripada penyokong malah membabitkan pengundi atas pagar.-MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 13 July 2012 5:51 PM