KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Pergerakan Puteri UMNO memperhebat gerakan perang siber, terutama dalam menepis serangan dan fitnah pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, kata ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata majoriti anggota pergerakan itu ‘celik IT’ dan ini memudahkan pergerakan tersebut menangkis sebarang isu dan fitnah yang ditimbulkan dengan fakta yang tepat.
“Kita tidak mahu bina kekuatan kita hasil fitnah, kita utamakan fakta, kita selalu berinteraksi dengan Biro Penerangan untuk dapatkan fakta yang boleh membantu kita menulis di alam maya.
“Walaupun hampir keseluruhannya boleh mengendalikan IT, kita telah mewujudkan kumpulan tertentu yang memberi fokus sepenuhnya kepada penulisan siber, dan mereka yang lain berperanan memantau cerita atau tuduhan isu yang dibangkitkan pembangkang.
“Saya bangga Puteri reaktif terhadap isu yang dibangkitkan, terutama yang melibatkan parti,” katanya Timbalan Menteri Kesihatan itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu hari ini.
Mengulas pembahagian kerusi melibatkan sayap itu, Rosnah berkata pihaknya menyerahkan keputusan berhubung perkara tersebut kepada pimpinan tertinggi parti dan telah mengemukakan cadangan senarai nama calon seperti yang diminta.
“Biar Presiden buat keputusan sama ada ada peningkatan, kurang atau kekal, itu hak beliau, kita hormati hak beliau, yang penting bukan soal calon, yang penting Puteri harus memainkan peranan kita untuk membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasa sama ada di peringkat negeri, rampas kembali negeri yang kita kalah dan juga mengekalkan kuasa di peringkat pusat,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan tidak akan bertanding sebagai ketua pergerakan tersebut pada pemilihan akan datang kerana faktor umur.
“Had umur yang ditetapkan untuk bertanding Ketua Puteri UMNO ialah 40 tahun, jadi saya hanya akan memegang jawatan ini sehingga pemilihan akan datang. Bagaimanapun, kita ada ramai pemimpin di kalangan Puteri yang boleh terajui pergerakan ini pada masa akan datang,” katanya.
Rosnah berkata sepanjang menerajui pergerakan itu, aspirasi beliau ialah melahirkan lebih ramai pemimpin muda kerana ingin meninggalkan legasi Puteri UMNO sebagai pergerakan yang mampu memberi impak kepada parti daripada segi gerak kerja dan meneruskan perjuangan dalam politik tanah air.
Menerajui sayap itu sejak 2009, beliau adalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang ketiga selepas Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Noraini Ahmad.