Kategori Dari Bahagian

Perpaduan Teras Keharmonian Kepelbagaian Kaum

TENOM, 12 Jun –   Perpaduan rakyat amat penting  bagi mengekalkan keharmonian masyarakat dan negara agar kestabilan politik serta kemajuan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa sebarang masalah.

Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar berkata,  toleransi di kalangan kepelbagaian kaum di Malaysia mendapat pengiktirafan dari  negara-negara luar sebagai contoh terbaik untuk memastikan kestabilan rakyat dan kemakmuran.

“Negara kita adalah contoh kepada negara-negara lain, malah mereka menunjukkan minat untuk belajar bagaimana pembentukan keharmonian, keamanan dan perpaduan di kalangan kita dan dilestarikan lagi dengan Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Jika rakyat kita yang terdiri dari  berbilang kaum  dan agama tidak bersatu padu, tidak mungkin kita dapat menganjurkan pelbagai program yang membabitkan semua kaum, malah kita tidak akan menjadi contoh kepada negara luar,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Hari Keluarga Rukun Tetangga dan Majlis Rumah Terbuka sempana sambutan Pesta Kaamatan KRT Kampung  Tinura, baru baru ini

Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata, perpaduan adalah asas kebebasan rakyat untuk saling mengenali budaya dan  adat resam kepelbagaian kaum di negara ini.

“Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana perpaduan yang sedia terjalin membolehkan pembangunan dilaksana dengan lancar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya pemikiran mereka tidak mudah dipesongkan oleh propaganda pembangkang yang sengaja menafikan kemajuan serta pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional

“Apa yang kita miliki sehingga sekarang adalah usaha dan janji yang ditunaikan oleh kerajaan BN untuk rakyat dan bukannya seperti pihak pembangkang yang hanya akan memperkecilkan usaha yang diberikan oleh kerajaan untuk  rakyat” katanya .

Menurutnya, masyarakat khususnya penduduk di pendalaman supya tidak terpengaruh dengan janji kosong yang diberi oleh pihak pembangkang kerana mereka hanya tahu menabur janji tanpa menunaikannya.


Berita Bertarikh Pada 12 June 2012 7:04 PM