KUALA LUMPUR, 25 Mei – Himpunan Jutaan Belia 2012 pada 23 hingga 27 Mei 2012 untuk kali kedua ini membuktikan komitmen kerajaan bagi tujuan menghimpunkan belia-belia di negara ini dengan pengisian pelbagai program. Jumlah belia di negara kita sudah mencapai 11.9 juta orang iaitu 41.5% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Jumlah ini sudah jelas menunjukkan bahawa suara dan sumbangan belia kepada semua aspek pembangunan negara adalah juga setara penting sekali gus membuktikan pengiktirafan Malaysia kepada golongan belia, ujar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Binti Haji Abd Rashid Shirlin.
Sehubungan dengan itu, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia, semua pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat swasta yang telah bertungkus-lumus dan menyumbang khidmat bakti bagi menjayakan Himpunan Jutaan Belia 2012 pada kali ini.
Dengan 500 aktiviti yang telah disediakan pasti menjadi medan atau platform bagi anak-anak muda ini mempamerkan aksi, kemahiran dan kebijaksanaan dalam pelbagai bidang sama ada dari segi akademik, sukan, seni, teknologi maklumat, keusahawanan, kerohanian jati diri, penerokaan bidang-bidang baru dan sebagainya bagi terus mengembangkan acuan aktiviti dalam himpunan ini.
“Dengan tema ‘Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini’, sebagai sebuah pergerakan politik yang bertunjangkan kepada golongan belia, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yakin bahawa belia negara ini sudah berada di ambang transformasi dalam pelbagai perkara termasuklah transformasi politik, sosial dan ekonomi untuk menjadikan negara ini bertambah maju di masa hadapan.
“Golongan belia kini merencana dan memainkan peranan dalam hala tuju dan masa depan negara. Pergerakan Puteri UMNO sentiasa berusaha mendekati golongan ini terutamanya belia wanita dengan pelbagai program khususnya program-program kemasyarakatan dan keusahawanan demi pembangunan sahsiah jati diri,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Himpunan Jutaan Belia 2012, Pergerakan Puteri UMNO juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama belia lain dengan mengadakan ‘Pink Village’ seperti tahun lepas.
Perkhemahan ini dijangka akan disertai seramai 3,000 orang Puteri UMNO yang akan menceriakan Himpunan Jutaan Belia ini dengan gelombang merah jambu. Ahli-ahli Puteri UMNO akan berkhemah di sepanjang Himpunan Jutaan Belia 2012 dan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti program-program sukan, senam tari, marathon, program kebudayaan, pemeriksaan kesihatan, pameran dan jualan.
“Secara keseluruhannya, Pergerakan Puteri UMNO berharap agar Himpunan Jutaan Belia 2012 ini akan berjaya mencapai matlamatnya. Puteri UMNO yakin belia kini sudah bersedia untuk melonjakkan diri ke satu paradigma baru dalam menempuh era globalisasi dan moden masa kini. Himpunan Jutaan Belia 2012 bakal dilihat sebagai platform dan wadah terbaik untuk belia negara kita bergerak maju dan melahirkan belia yang mampu membawa negara ke arah kecemerlangan,” ujarnya lagi. – MediaUMNO