Kategori Presiden UMNO

Kekuatan Dalaman Ekonomi Bolehkan Kerajaan Salur Bantuan Besar Kepada Rakyat – Najib

KUCHING, 28 April – Kerajaan Barisan Nasional menggunakan kekuatan dalaman ekonominya bagi membolehkan pelbagai bantuan dalam jumlah yang besar diberikan kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Katanya hakikat ini berlaku hasil kecekapan kerajaan mentadbir negara sehingga membolehkan Malaysia meningkatkan hasil pendapatannya biarpun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Dalam tempoh setahun daripada 2010 kepada 2011, hasil negara telah melonjak sebanyak RM26 bilion kerana pentadbiran kita yang lebih efisien dan kerana syarikat-syarikat kita telah meraih keuntungan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan “Program Jelajah Janji Ditepati” di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini.

Menurutnya pemantapan kutipan hasil ini telah membolehkan negara mencipta satu rekod yang belum pernah dicapai sebelum ini.

Najib berkata pelaburan-pelaburan langsung asing (FDI) dan dalam negeri bagi tahun lepas telah mencecah RM120 bilion dan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

Katanya bagi kerajaan prihatin seperti Barisan Nasional, hasil bertambah yang diperoleh ini telah dipulangkan balik kepada rakyat menerusi program-program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) dan bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah.

Program-program ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 4.2 juta keluarga, lebih 1.3 juta pelajar universiti dan tingkatan enam dan 5.3 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara, katanya.

Menurutnya kecekapan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional ini dalam menjana hasil yang lebih tinggi untuk negara sekaligus membuktikan pembohongan pembangkang yang mendakwa pinjaman luar negeri telah digunakan untuk membiayai program-program ini.

“Mereka tak dapat tunjuk bukti. Sebab yang sebenarnya kita tidak pinjam duit dari luar. Kita gunakan kekuatan dalaman ekonomi kita untuk memberi kepada rakyat,” katanya.


Berita Bertarikh Pada 28 April 2012 2:03 PM