Senario Politik Semasa Timbulkan Tanda Tanya… Undang Pelbagai Persoalan – Pengamal Undang-undang

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Pengamal Undang-undang, Dr Shamsher Singh Thind hari ini menimbulkan beberapa persoalan mengenai suasana politik semasa yang dilihat telah menimbulkan beberapa kekeliruan termasuklah soal tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata apa yang menjadi tanda tanya sekarang ialah adakah Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan adakah beliau telah meletakkan jawatan.

“Isu ini saya tidak mahu sentuh sangat mungkin apa yang disebutkan interim PM itu ‘temporary’ PM, sementara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melaksanakan tugasnya… mungkin tidak ada istilah yang lebih sesuai. Jadi apabila dilantik sebagai Interim PM ‘maybe’ untuk satu hari, dua hari atau seminggu… tidak tahulah.

“Tetapi yang menjadi soalan saya dan berada di dalam fikiran saya sekarang dan menjadi tanda tanya ialah Dr Mahathir ada meletakkan jawatan ataupun tidak. Itu yang pertama. Sebab apa kalau kita tengok Dr Mahathir telah meletakkan jawatan ertinya seluruh kabinet telah meletakkan jawatan.

“Jadi saya nak tahu dalam kes ini apa yang berlaku. Kalau PM letak jawatan jemaah menteri sepatutnya letak jawatan dan bukan jemaah menteri dibatalkan perlantikan. Jadi saya agak ‘confuse’ di situ sama ada PM letak jawatan dan apabila beliau letak jawatan dengan itu seluruh Jemaah menteri meletakkan jawatan maka tidak perlulah batalkan perlantikan mereka sebab mereka dah letakkan jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada [LIVE] Segmen Hujah dengan topik “PM Interim: Kembalikan Hak Rakyat” dengan penampilan bersama seorang lagi pengamal undang-undang Datuk Rosni Zahari, di sini, Rabu malam.

Dr Shamsher seterusnya mempersoalkan apakah Tun Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun untuk sementara waktu.

“Katakan betul PM telah meletakkan jawatan dan sekarang PM telah letakkan jawatan dan beliau telah dilantik sebagai interim PM… adakah PM telah mengangkat sumpah. Saya tidak tahu mungkin tidak dilaporkan di dalam berita ‘maybe’ telah dijalankan secara ‘private’.

“Tetapi tidak ada dilaporkan yang Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai PM sepertimana yang saya katakan tadi… soalnya ‘your’ PM or ‘not’ PM. Kalau Dr Mahathir telah meletakkan jawatan dan kalau beliau dilantik semula sebagai PM walaupun untuk sementara waktu mana upacara angkat sumpah itu.

“Kenapa saya ‘confuse’ ialah kalau dia dah letakkan jawatan ertinya jemaah menteri ikut sekali letak jawatan. Tidak perlu batalkan perlantikan mereka. Dalam kes ini beliau letak jawatan jemaah menteri masih ada lagi, dia jadi PM Interim dan kemudian buatkan satu ‘statement’ untuk batalkan perlantikan,” ujarnya.-

Dilaporkan Isnin lalu, Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga pengerusi Bersatu seterusnya Bersatu keluar dari gabungan PH, diikuti Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen yang lain.

Ekoran itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya dan membatalkan pelantikan menteri-menteri kabinet. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.