UMNO Perak Ragui MB Dapat Sokongan, Kembalikan Mandat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Saarani Mohamad meragui kenyataan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa dirinya masih kekal Menteri Besar (MB) Perak dan mendapat sokongan majoriti ADUN negeri terbabit.

Katanya, keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengisytiharkan keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyebabkan keruntuhan Kerajaan Persekutuan.

“Perkembangan ini menyebabkan kerajaan di beberapa buah negeri yang dipimpin PH turut tumbang kerana kehilangan sokongan majoriti.

“Sehubungan itu, kenyataan YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 25 Februari 2020 bahawa beliau masih kekal mendapat sokongan ADUN adalah amat meragukan,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Oleh itu, jelasnya, Ahmad Faizal mesti tampil membuktikan bahawa dirinya masih lagi mendapat dukungan majoriti ADUN yang menyokong kedudukannya sebagai Menteri Besar dan juga keutuhan kerajaan negeri.

“Kesangsian yang timbul diperkuatkan lagi dengan kenyataan Naib Pengerusi Dap Perak merangkap ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa kerajaan PH Perak sudah runtuh manakala Menteri Besar kini kehilangan sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri.”

Oleh yang demikian, katanya, Muafakat Nasional Negeri Perak mengesyorkan bahawa langkah mengembalikan semula mandat kepada rakyat adalah jalan terbaik untuk menegakkan sistem demokrasi.

“Muafakat Nasional Negeri Perak juga akan memohon untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak untuk menyembah maklum mengenai suasana politik negeri terkini kepada baginda,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.

Jelasnya, menurut Perkara 16 2(a) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar mesti ‘mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli- Ahli Dewan Negeri.’

Untuk rekod, PH Negeri Perak sebelum ini mempunyai 31 daripada 59 kerusi DUN iaitu Dap mememiliki 18 kerusi, Parti Amanah Nasional (6), Parti keadilan Rakyat (4), PPBM (2) dan seorang ADUN Bebas.

“Berdasarkan situasi politik terkini, tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.