Kategori Presiden UMNO Utama

Najib Ajak Rakyat Terus Bersama Kerajaan Yang Konsisten, Bukan Populis

KUALA LUMPUR 22 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengajak rakyat agar terus bersama dengan sebuah kerajaan yang konsisten dan bukannya bersifat populis untuk kepentingan mereka semata-mata.

Menurut beliau dengan pelbagai pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) hari ini telah banyak memberi banyak manfaat kepada rakyat sekaligus menggambarkan ianya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Jangan dulu cakap lain sekarang cakap lain. Dulu tak mahu jambatan di Pulau Pinang ini, sekarang lain pula. PTPTN……dulu lain sekarang lain pula…Ini cakap orang lidah bercabang susah. Dia tak buat Selangor 32 janji pilihan raya..adalah sikit-sikit dia bagi….Tetapi BN bila janji kita ‘deliver’ janji kita. Banyak lagi janji kita akan buat.

“Bantuan untuk sekolah dan sebagainya….kita bagi…Begitu juga dengan bantuan lain…kita bagi. Inilah kerajaan BN.Janji dan buat… Tak payahlah bagi duit sikit riuh satu kampung. Kita berikan bantuan jauh lebih besar. Subsidi lain pula seperti minyak, tepung, gula, minyak masak kita tidak ambil kira lagi.

“Dalam kepala saya banyak lagi dan cuma tunggu ‘timing’ sahaja. Tak boleh ‘release’ semua sekali. ‘One by One’…..Sebagai sebuah kerajaan kita perlu cerdik dan insyaallah jika kita dapat mandat baru akan ada banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jentera BN Pulau Pinang, di Bukit Jawi Golf Resort, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Kon, mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta pimpinan BN yang lain.

Najib seterusnya membidas pembangkang yang melakukan tohmahan terhadap usaha kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat seperti pemberian BR1M.

“BR1M sentuh hati rakyat seluruh negara. Dengan pelan peta pelbagai pembaharuan  yang amat jelas dan dengan pelaksanaan program yang berkesan rakyat ingin lihat kerajaan prihatin dengan nasib mereka.

“Dan bila kita buat perkara ini kita bersikap bertanggungjawab dan bukannya populis..saya tahu pembangkang menidakkan kita kononnya kita beri BR1M, kita pinjam duit daripada luar negara. Tetapi saya menafikan perkara ini sebab kita menambahkan hasil negara..’’katanya.

Najib seterusnya menegaskan slogan rakyat didahulukan bukanlah sekadar slogan semata-mata.

“Sebab itulah saya perkenalkan bukan slogan atau cogankata semata-mata tetapi falsafah induk kita iaitu kalau kita mendahulukan raklyat, rakyat akan sokong penuh BN,” katanya.

Najib seterusnya mengingatkan jentera agar bekerja sebagai satu pasukan dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.

“Nak menang buat cara nak menang..Jangan hanya sekadar semangat tetapi tak buat kerja.Duduk dirumah peluk tubuh. Kita mesti buat kerja …kita banyak senyuman… jangan nampak macam masam-masam muka…tengok macam nak telan orang tetapi kita nak orang sokong kita. Banyak beri salam dan terima salam,” katanya.

“Kita ada ramuan untuk berjaya dan kita ada kekuatan untuk berjaya dan kita mesti ada tekad untuk berjaya dan setia pada parti insyaallah kita akan berjaya kelak,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis jamuan rakyat di Simpang Tiga Sg Acheh, Nibong Tebal, Najib berkata UMNO bersama rakan-rakan dalam komponen BN sedar bahawa kepentingan semua kaum amat penting.

“UMNO juga parti yang sedar dan sama-sama rakan dalam BN mesti jaga kepentingan semua kaum dan tidak boleh jaga ahli kita sahaja, kita tidak boleh jaga orang Melayu sahaja, UMNO mesti jadi pembela, pelindung kepada semua kaum dan semua kumpulan etnik dalam negara kita.

“Saya juga tegaskan perkara ini amat penting kerana Allah s.w.t memerintah kita supaya berlaku adil kalau kita buat pertimbangan dan kalau kita menghukum. Sebab itulah bila kerajaan perkenalkan  BR1M, bantuan persekolahan RM100, baucer buku RM200, kita tidak memberi kepada satu-satu kaum sahaja tetapi diberi kepada semua kaum kerana kita berlaku adil,” katanya. – MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 22 April 2012 6:18 PM






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker