Kategori Eksklusif

Isu Majlis Syura Pas & Anwar Umpama Kisah Pak Mat Dengan Lembunya

KUALA LUMPUR 23 April – ‘Lembu Pak Mat makan padi Pak Mat’….Itulah senario atau gambaran berhubung tindakan Majlis Syura Ulama Pas berkenaan sokongan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Israel seperti yang disiarkan di dalam Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Datuk Ghazali Ahmad berkata perumpamaan itu adalah untuk memberi kefahaman yang cukup mudah dalam isu tersebut yang kini dilihat sunyi sepi.

Menceritakan lebih lanjut perumpamaan itu, beliau seterusnya menambah Pak mat mengejar seekor lembu yang sedang memakan padinya dengan sebatang kayu dan setelah dekat dengan lembu tersebut, barulah Pak Mat sedar haiwan berkenaan adalah miliknya sendiri.

“Takkanlah Pak Mat nak marahkan lembu dia dan takkanlah Pak Mat nak pukul hingga mati lembu itu walapun lembu berkenaan memakan dan merosakkan padinya yang telah ditanam sejak sekian lama.

“Saya tidak berniat untuk menghina sesiapa malah jauh sekali untuk bandingkan binatang berkenaan dengan sesiapa sahaja tetapi hanya sekadar menceritakan kisah berkenaan secara umum agar mudah difahami dengan jelas,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau seterusnya menambah ulama Pas hari ini boleh digambarkan sebagai ulama terompah kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana dilihat tidak berani dan takut apabila berdepan dengan Ketua Umum PKR itu.

Atas hakikat berkenaan ulas beliau lagi, segala tutur kata oleh ulama Pas kepada ulama yang tidak sebulu dengan mereka sebelum ini terpalit ke muka mereka sendiri.

“Saya rasa masih segar dan dalam ingatan kita semua bagaimana ulama dan cendekiawan Islam yang tidak sebulu dengan mereka khususnya ulama dan tokoh agama kerajaan dipandang cukup hina.

“Kalau tidak silap pernah satu ketika ulama berkenaan digelarkan ulama bisu dan sebagainya lagi. Namun hari kita tengok apa sudah jadi…pendek kata kata-kata berkenaan terpercik ke muka sendiri.

“Kepada ulama yang masih setia dan bersama di dalam Pas, renung-renungkanlah dan bermuhsabahlah dengan ikhlas agar apa yang berlaku di depan mata khususnya tidak diperam demi kepentingan kuasa dan politik semata-mata,” katanya.

Sehingga ke hari ini, Majlis Syura Ulama Pas masih menyepi berhubung  tindakan Anwar yang tidak akan menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung kenyataannya mengenai sokongan terhadap keselamatan Israel sebagaimana disiarkan pada 26 Januari lalu meskipun Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini menggesa Ketua Pembangkang itu berbuat demikian jika kenyataannya diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Anwar mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendengar dan memahami penjelasannya dalam pertemuan selama satu jam baru-baru ini.

Malah Anwar berkata WSJ tidak melakukan kesalahan kerana ia turut menyiarkan kenyataannya mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh rejim zionis dalam memenuhi aspirasi rakyat Palestin. -MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 23 April 2012 3:15 PM