Kategori Berita Pilihan Presiden UMNO

Semua NKEA Melepasi Atau Penuhi Sasaran 2011 – Najib

KUALA LUMPUR, 3 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesemua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA telah melepasi atau memenuhi sasaran 2011 masing-masing.

Katanya sememangnya menjadi kebiasaan bahawa sesetengah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan mengatasi yang lain berikutan ekonomi yang dinamik.

“Kita akan mengambil langkah bagi mengatasi isu-isu berkenaan bagi memastikan kita mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya dalam “Nota Dari Perdana Menteri” di dalam Laporan Tahunan 2011 Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Laporan itu diedarkan hari ini oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggung jawab melaksanakan, menilai kemajuan, memudahkan serta menyokong pelaksanaan dan memacu kemajuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan ETP.

Najib berkata kesemua menteri dan kementerian juga ditetapkan mencapai sasaran dan mengikut masa tertentu pada awal 2011 sebagai bukti komitmen kerajaan.

Sebagai sebuah negara, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia akan memberi fokus kepada 12 NKEA, iaitu sektor di mana Malaysia boleh bersaing pada peringkat dunia.

Sehingga ini, katanya 131 projek permulaan (EPP) telah dikenal pasti untuk memulakan pertumbuhan serta menjadi pemangkin pelaburan dan penyertaan dari sektor swasta.Perdana Menteri berkata beliau juga telah menghoskan lapan Kemas Kini Kemajuan ETP pada 2011.

Kira-kira 110 projek telah dilancarkan, 55 peratus daripada EPP telah dimulakan dan pelaburan lebih RM179.2 bilion sudah dikeluarkan, iaitu satu jumlah yang tidak pernah dilakukan bagi tempoh 12 bulan, katanya.

Kesemua projek itu diunjurkan menyumbang kira-kira RM129.5 bilion bagi Pendapatan Negara Kasar pada 2020 dan mewujudkan 313,741 pekerjaan baharu menjelang 2020.

Mengenai Inisiatif Pemulihan Strategik yang dilancarkan pada Julai, Najib berkata beliau berkeyakinan bahawa kerajaan dengan kerjasama sektor swasta “boleh dan akan melaksanakan sepenuhnya, terutama di dalam pelaksanaan pemulihan struktur bagi membolehkan kita mencapai sasaran pelaburan.”

Menjelang akhir tahun ini, Najib juga menyatakan bahawa 17 lagi subsektor perkhidmatan akan diliberalisasikan, bagi membolehkan penyertaan asing sehingga 100 peratus.

Sebelum itu, Malaysia telah membuka 24 subsektor, katanya.

Najib mengulangi bahawa kerajaan terus komited mengurangkan peranannya di dalam perniagaan bagi membolehkan sektor swasta menjadi penerajunya, dengan memudahkan dan mengurangkan kos melakukan perniagaan serta membangunkan bilangan besar pekerja berkelayakan dan mahir.

Menuju ke hadapan, Najib berkata :

“Di hadapan terdapat cabaran dan ganjaran.” “Marilah kita pastikan semuanya berjalan lancar kerana kita perlu bekerja keras bagi tempoh sembilan tahun lagi,” kata Najib sambil meningatkan bahawa negara perlu berada di atas landasannya kerana ia akan menerima kesan ketidaktentuan ekonomi global sedia ada dan peningkatan produktiviti penting bagi mencapai kejayaan masa depan negara ini.

Malaysia sedang mengalami proses transformasi besar-besaran dengan matlamat akhir untuk menjadi destinasi pelaburan berdaya saing di seluruh dunia dan menjadi negara maju berpendapatan tinggi sepenuhnya menjelang 2020.

Najib akan mengemas kini kemajuan dan cabaran ETP dan GTP lewat hari Isnin.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker