Kategori Berita Lain

BN Selangor Cadang Hantar Memorandum Kepada Sultan, Dakwa Speaker Berat Sebelah

SHAH ALAM, 28 Mac – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan mengambil langkah tertentu bagi membantah tindakan Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada persidangan Dun itu semalam.

Mereka menyifatkan tindakan Teng yang menggesa anggota exco kerajaan negeri agar membahaskan kejayaan empat tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor sebagai berat sebelah dan tidak profesional.

Ketua Penerangan UMNO Selangor Abdul Shukor Idrus berkata antara tindakan yang difikirkan ialah menghantar memorandum kepada Sultan Selangor bagi membantah tindakan itu.

BN merupakan pembangkang dalam DUN Selangor.

Semalam, enam anggota DUN dari BN bertindak keluar dewan kerana membantah SMS itu dengan menyifatkannya sebagai berat sebelah oleh Speaker berkenaan.

Teng ketika mengulas perkara itu semalam menjelaskan bahawa beliau secara tidak sengaja menghantar SMS itu kepada anggota DUN Bebas Datuk Dr Hasan Ali kerana nama beliau masih diletakkan sebagai exco dalam telefon Teng.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Program Rapat 1Malaysia bersama Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM) di sini hari ini, Abdul Shukor, Adun Kuang, berkata sebagai Speaker Teng harus bebas, adil dan bertanggungjawab dalam mengendalikan sidang DUN.


Berita Bertarikh Pada 28 March 2012 5:41 PM






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker