Kategori Dari Parlimen

Hala Tuju Proton Di Bawah DRB-Hicom Kekal: Kata Mustapa

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pemilikan Proton Holdings Bhd (Proton) oleh DRB-Hicom Bhd tidak mengubah tujuan asal penubuhan Proton untuk menjadi peneraju industri automatif negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya DRB-Hicom adalah antara peserta utama dalam industri automatif di negara ini yang terlibat dalam rantaian bersepadu keseluruhan ekosistem automatif seperti pembuatan dan pengedaran komponen automatif, pemasangan, pengedaran serta kenderaan komersil dan motosikal.

Selain itu, pengalaman luas selama 26 tahun dalam sektor automotif tempatan serta rangkaian perkongsian strategik yang kukuh antara pengeluar kenderaan ternama dunia seperti Volkswagen, Honda, Audi dan Isuzu, juga merupakan asset utama DRB-Hicom.

“Model Perniagaan baharu yang akan diperkenalkan oleh DRB-Hicom semestinya akan memastikan kesinambungan dan kecemerlangan Proton bersama-sama semua ekosistem automatif negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu hala tuju dan strategi masa depan Proton selepas pembelian oleh syarikat DRB-Hicom, selain usaha pengurangan kos dan peningkatan kecekapan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Mustapa, DRB-Hicom mempunyai perancangan yang menyeluruh untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang merangkumi semua aspek perniagaan Proton.

Sebagai permulaan, beliau berkata terdapat pelbagai peluang untuk merealisasikan sinergi antara Proton dengan DRB-HICOM yang boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri automotif negara.

Mengenai hala tuju Proton di bawah DRB-Hicom, Mustapa bekata kereta Proton akan terus dipertahankan sebagai jenama nasional dalam usaha membangunkan industri automatif tempatan ke arah peningkatan akses kepada kepakaran bertaraf dunia dan pasaran global.

“Selain itu, DRB-Hicom juga akan memperkenalkan amalan terbaik untuk mengurangkan perlindungan kepada industri automatif tempatan secara berperingkat di samping mengekalkan tahap daya saing serta bersama-sama mengenal pasti serta membangunkan pasaran baru,” katanya.

Katanya DRB-Hicom juga akan memacu dan mempercepatkan pelan transformasi Proton termasuk proses rasionalisasi dan sinergi seperti pembangunan vendor komponen serta alat ganti, pengedar dan logistik.

Kepada soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai penjualan saham oleh Khazanah kepada DRB-Hicom yang rendah iaitu RM5.50 sesaham berbanding RM8 ketika Khazanah membeli saham tersebut, Mustapa berkata ia dibuat berdasarkan pembidaan.

“Kita tidak boleh tolak kemungkinan satu unit saham yang dijual rendah daripada yang dibeli kerana ia dipengaruhi oleh mekanisme pasaran,” katanya.

Ditanya jika Khazanah rugi atau untung dengan harga tersebut, Mustapa menjelaskan, Khazanah telah lama mengintai untuk keluar dari industri automatif kerana ia tidak menjana pulangan yang baik kepada syarikat.


Berita Bertarikh Pada 19 March 2012 1:17 PM






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker