Kategori Berita Lain

Gedung NGO@KPWKM Untuk Selaras Usaha Bantu Golongan Sasar – Shahrizat

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan sekretariat khusus bagi membangunkan direktori untuk semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan kebajikan yang bekerjasama dengannya.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata direktori komprehensif itu, Gedung NGO@ KPWKM, bertujuan menyelaras usaha antara NGO dan pertubuhan sukarela kebajikan yang berbeza dalam melaksanakan program pembangunan kapasiti, latihan sukarelawan serta program lain yang bersesuaian mengikut keperluan kumpulan sasar.

“Harapan kementerian, dengan wujudnya Gedung NGO@KPWKM, ia dapat membantu mana-mana NGO yang memerlukan bantuan atau mencari tempat mengadu selain memberi maklum balas kepada kementerian terhadap mana-mana dasar supaya dapat dibawa kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kari1sma) di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis itu, yang dihadiri 1,627 wakil NGO dan hampir 20,000 pengunjung, turut menyaksikan Perdana Menteri melancarkan Gedung NGO@KPKWM, yang bakal dikelolakan Institut Sosial Malaysia (ISM), sebuah agensi di bawah kementerian.

Shahrizat berkata kewujudan Gedung NGO@KPWKM akan dapat mengumpul 4,000 NGO yang menjadi rakan pintar kementerian ketika ini di bawah satu bumbung dalam usaha membantu mereka.

“Ini juga selaras dengan pesanan Perdana Menteri… kita perlu berjumpa rakyat, bukan rakyat datang kepada kita,” katanya.

Beliau berkata sumbangan NGO kepada pembangunan masyarakat di negara ini tidak dapat dinilai dengan wang, malah ia merupakan tulang belakang kementerian.

Sebagai menghargai sumbangan dan peranan mereka, Shahrizat berkata kementerian memperuntukkan RM47 juta tahun ini untuk NGO di seluruh negara, yang meningkat 35 peratus berbanding RM35 juta pada 2010.

Ini berikutan peruntukan yang diterima kementerian meningkat daripada RM758 juta pada 2009 kepada RM1.19 bilion tahun ini.

“Peningkatan peruntukan ini membolehkan kita membantu seramai 450,000 penerima pada tahun ini berbanding 353,000 pada 2009,” katanya.



Berita Bertarikh 4 March 2012 6:06 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker