Kategori Berita Pilihan

Rakyat Tidak Akan Terkejut Ibu Pejabat PKR Jadi Kedutaan Rasmi Israel

KUALA LUMPUR 27 Feb – Selagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menarik balik kenyataannya menyokong sebarang usaha menjaga keselamatan negara itu, selagi itulah rakyat akan akan membuat kesimpulan bahawa Anwar ada hubungan yang “istimewa” dengan rejim berkenaan.

Dan boleh dikatakan Ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya dekat sini boleh dianggap sebagai kedutaan tidak rasmi bagi Israel, kata  Exco Pemuda UMNO Hisamuddin Yahya.

Menurut beliau lagi, umum tertanya-tanya kenapakah Anwar begitu berkeras mempertahankan kenyataannya dan menganggap pihak lain pula yang memutarbelit kenyataan sepertimana yang disiarkan di dalam Wall Street Journal (WSJ) baru baru ini.

“Apakah ini gambaran sebenar kepada perilaku dan topeng Anwar yang bermuka-muka. Dah macam-macam yang kita dengar tentang Anwar dengan Israel ini sepertimana yang diperkatakan oleh bekas rakan-rakan karib beliau didalam PKR sebelum ini.

“Apa pun terpulang kepada batang tubuh Ketua Umum PKR itu dan pelbagai pihak telah tampil menyuarakan bantahan terhadap apa yang diungkapkannya itu. Malah kita menerusi Pemuda BN dan NGO serta pelbagai lapisan rakyat negara ini yang lain turut menyatakan bantahan yang sama,” katanya kepada UMNO-Online.

Hishamuddin seterusnya menegaskan Anwar sudah terperangkap dengan gaya politik sesumpahnya dan rakyat perlu menilai dengan teliti tindak-tanduk Ketua Pembangkang berkenaan yang hanya mementingkan diri sendiri demi kepentingan politik.

Katanya Anwar akan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politiknya untuk menjadi Perdana Menteri dengan menumbangkan BN yang kini menjadi payung kepada seluruh rakyat di negara ini.

“Percayalah menjelangnya Pilihan raya Umum ke-13 nanti, perangai Anwar yang memakai  pelbagai topeng akan terdedah. Hari ini baru satu dua….tunggulah nanti apabila gendang pilihan raya dipalu, makin banyaklah topeng beliau.

“Bukankah contoh terdekat sudah ada…. Bukan main dalam WSJ  menyebut menyokong sebarang usaha menjaga keselamatan Israel..Namun dalam beberapa hari selepas itu terbang ke luar negara berjumpa dengan tokoh tertentu untuk menyatakan pendiriannya mengenai Palestin pula.

“Anwar memang licik dan bijak tetapi beliau perlu sedar dan tahu kita hanya merancang dan Allah s.w.t yang akan menentukan kelak. Kepada seluruh rakyat, janganlah terperangkap sama dengan politik gaya sesumpah Anwar itu. Beliau tidak akan rugi apa-apa sebaliknya kita dan negara yang akan menanggungnya,” katanya. -MediaUMNO


Berita Bertarikh Pada 27 February 2012 6:47 PM