Kategori Dari Bahagian

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Disaran Perhebat Kempen Tangkis Fitnah

KOTA MARUDU, 25 Feb – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu ketua penerangan UMNO di semua bahagian negeri ini memperhebatkan kempen menangkis tohmahan pembangkang yang cuba meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Katanya pembangkang tidak harus diberi ruang untuk memutar belit fakta dan mengeksploitasi isu bagi kepentingan politik mereka.

“Kita berada di ambang pilihan raya umum ke-13. Justeru, kita perlu bekerja keras memperkukuhkan jentera parti.

“Kita perlu perbanyakkan kempen penerangan. Jangan kita leka dan cepat berpuas hati dengan kedudukan sekarang,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Majlis Penerangan Perdana Zon 1 Kota Marudu, di sini hari ini.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri turut meminta ketua-ketua penerangan parti itu menggunakan kaedah yang berkesan, pendekatan yang menarik, cara yang kreatif dan terkini untuk memberi penerangan.

Katanya ini termasuk mengaktifkan perang saraf, mendekati golongan muda atau pengundi baru, selain menggunakan media baru, jaringan sosial atau media social seperti Facebook, blog dan Twitter.

“Pembangkang cuma tahu bercakap bohong, berjanji kosong. Mereka juga pantas membangkitkan isu-isu yang mereka fikir boleh menguntungkan mereka, meniupkan sentimen rakyat.

“Apa yang pasti, segala kebaikan yang dilakukan oleh Barisan Nasional adalah salah di mata mereka, manakala apa jua yang mereka lakukan, itulah yang kononnya terbaik untuk rakyat jelata,” katanya.

Dalam hal ini, Musa berkata ketua-ketua penerangan Umno peringkat bahagian berperanan penting untuk memberi penjelasan mengenai apa juga isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

 


Berita Bertarikh Pada 25 February 2012 6:44 PM