Kategori Utama

Bukan Melayu Juga Mendapat Manfaat Daripada Dasar Ekonomi Baru – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk orang Melayu atau Bumiputera sahaja.

Beliau berkata semasa pentadbirannya, DEB juga memberi manfaat kepada orang bukan Melayu yang menjadi jutawan dan bilionair.

“Kawan baik saya (pengerusi Berjaya yang bersara baru-baru ini) Tan Sri Vincent Tan, beliau menjadi bilionair semasa pentadbiran saya, malah (yang berpangkalan di Hong Kong) Robert Kuok menjadi multi-bilionair semasa pentadbiran saya, apabila kami melaksanakan DEB.

“Saya boleh namakan sejumlah besar orang yang menjadi bilionair semasa pentadbiran saya, ia kerana DEB. Jika DEB ini sesuatu yang tidak baik bagi mereka, mereka tidak akan menjadi jutawan dan mereka tidak akan diberikan sebarang peluang langsung,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan
syarahan bertajuk “Transformasi Kepimpinan Belia:Meniti Cabaran Wawasan 2020″ di Pusat dagangan Dunia Putra di sini.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razeleigh Hamzah hari ini bahawa DEB tidak pernah bertujuan melahirkan satu kumpulan kapitalis Melayu tetapi bagi menangani masalah kemiskinan dan meningkatkan penyertaan orang Melayu dalam ekonomi.

Di bawah DEB, Dr Mahathir berkata kira-kira 500,000 orang Melayu mendapat pendidikan tinggi dan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), lebih Sembilan juta Bumiputera boleh memiliki saham dalam syarikat-syarikat.

“Itu tidak disebut, apa yang disebut adalah hanya beberapa kerat orang Melayu yang menjadi jutawan,” katanya.

Terdahulu, ketika menyampaikan ceramah pada majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu, Dr Mahathir berkata pemimpin sesebuah masyarakat dan Negara perlu mempunyai pemahaman dalam pelbagai bidang dalam usaha untuk membawa kemajuan kepada masyarakat dan rakyatnya.

“Zaman sekarang pengikut (rakyat) sudah menjadi golongan yang berpengetahuan dan boleh berfikir sendiri. Justeru pemimpin mesti mempunyai pemikiran yang lebih dalam, lebih banyak ilmu dari pengikut.

“Pemimpin kita perlu mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi dan sebagainya supaya boleh membawa dasar yang boleh diterima untuk memajukan negara,” katanya.

Beliau berkata masyarakat terutamanya golongan belia perlu memilih pemimpin yang bukan hanya popular tetapi diterima dengan baik oleh semua pihak dan boleh melakukan tugasnya dengan baik.

“Tidak memadai bagi pemimpin yang kerjanya hanya melawat orang sakit atau menghadiri majlis sahaja, pemimpin sebenar perlu tahu buat kerja dengan baik dan tahu menyelesaikan masalah,” katanya.


Berita Bertarikh Pada 24 February 2012 5:21 PM