Kategori Berita Pilihan

Perjelaskan Kedudukan Yayasan Selangor, Jangan Main Kong Kali Kong

KUALA LUMPUR 22 Feb – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu memberi penjelasan terkini mengenai apa yang berlaku kepada Yayasan Selangor termasuk membabitkan perancangan untuk merobohkan asramanya di Kampung Pandan.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo menyifatkan sikap berdiam diri kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan menjadi tanda tanya kepada rakyat Selangor terutama di kalangan yang kurang berkemampuan.

“Mereka perlu ingat penubuhan Yayasan Selangor adalah untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan, manakala asrama itu dibina untuk menempatkan pelajar di luar bandar mendapat pendidikan di sekitar ibu negara seperti yang dilakukan sejak dahulu lagi.

“Mengapa tiba-tiba mereka mahu merobohkan asarama berkenaan, sedangkan ramai anak Selangor yang berjaya lahir daripada mereka yang mendapat kemudahan daripada asrama berkenaan, bagaimana nasib dengan pelajar luar bandar untuk mendapat peluang sebegitu rupa jika asrama itu dirobohkan,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Menurutnya, memang ada dikhabarkan satu asrama baru yang bakal dibina untuk menggantikannya di kawasan luar ibu kota dan tidak strategik berbanding dengan asrama sedia ada yang berhampiran dengan beberapa sekolah ternama seperti Sekolah Menengah Aminuddin Baki dan Sekolah Menengah St John di Bukit Nenas di ibu negara.

“Apakah motif sebenarnya mengenai perkara itu, apakah ia bertujuan bisnes sehingga mengadai peluang pendidikan kepada pelajar luar bandar menikmati pendidikan seperti pelajar di Kuala Lumpur.

“Sehingga kini, kerajaan negeri masih berdiam diri mengenai perkara itu, malah beberapa pendedahan yang dibuat terhadap Yayasan Selangor masih lagi belum dijawab oleh Menteri Besar, orang yang bertanggungjawab,” katanya.

Ismail berkata, Menteri Besar perlu prihatin dengan perkara itu dan tidak membiarkan begitu saja kerana sebagai orang bertanggungjawab terhadap Selangor, beliau seharusnya memberi penjelasan terhadap apa yang ingin dilakukan.

“Jangan berikan penjelasan sekadar `batuk di tangga’ beri penjelasan yang sejelas-jelasnya, jangan biarkan rakyat tertanya-tanya dan yang paling penting jangan perjudikan nasib rakyat Selangor hanya untuk kepentingan sesuatu pihak sahaja,” katanya. -MediaUMNO



Berita Bertarikh 22 February 2012 5:23 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker