Kategori Dari Bahagian

UMNO Kota Belud Kongsi Rahsia Kejayaan Parti

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Ketua UMNO Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkongsi rahsia kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bahagian itu dengan  menjadikan gerak kerja mereka sebagai satu pasukan.

Menurut beliau segala sengketa dan sebagainya di peringkat bahagian berkenaan diketepikan dengan mengutamakan tanggungjawab kepada parti dalam usaha meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah pemimpin yang boleh diberikan kepercayaan.

“Saya menyertai parti UMNO dengan niat untuk berkhidmat. Pada saya jawatan adalah perkara kedua dan bukannya perkara pokok. Yang penting apabila telah dipilih sebagai Ketua Bahagian tugas saya membina pasukan yang kuat. Apa yang saya buat di Kota Belud semua saya libatkan di dalam jentera saya dan kita bekerja sebagai satu pasukan.

“Lupakan sengketa dalam proses pemilihan yang lalu. Fokus kepada kerja kerana matlamat kita adalah sama. Alhamdulillah sekarang kita dapat tunjukkan kesatuan kepada masyarakat. Jika di dalam kesatuan banyak perpecahan, ianya boleh kurangkan keyakinan kepada kepimpinan kita.

“Kita pastikan dulu pengurusan yang baik di bahagian kita dan itu adalah kunci segala-galanya dan rakyat boleh lihat kegiatan dan kepimpinan kita. Kita kena tunjukkan kepada masyarakat bahawa yang penting ialah apabila menyertai parti ini kita korbankan segala-galanya.

“Sudah tentu setiap pemimpin ada kepentingan politik masing-masing dan itu tidak dapat dielakkan tetapi itu bukan perkara pokok kerana kepentingan parti yang penting,” katanya dalam temubual ekslusif bersama UMNO-Online.

Datuk Seri Salleh merupakan Ketua UMNO bahagian selain Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah manakala Ahli Parlimennya adalah Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau seterusnya menambah, kepentingan parti adalah perjuangannya dan parti itu tujuannya yang pertama ialah pertahankan kemerdekaan, manakala keduanya menentukan keamanan dan kestabilan negara, dan ketiganya menentukan kita menikmati hasil kemerdekaan.

“Ini fokus kita dan kalau ini pegangan kita tidak ada sebab kita tidak boleh bina pasukan yang kuat kerana dalam sistem UMNO ianya parti demokratik dan jelas kita sudah mengubah perlembagaan parti untuk tentukan ia lebih demokratik dan semua anggota ada peranan dalam parti.

“Di Kota Belud kita tunjukkan sedemikian bukan sahaja diperingkat UMNO malah kita juga ada jalinan yang baik dengan komponen. Adakan perbincangan dan mesyuarat serta memahami kehendak mereka. Kita yakin rakyat akan bersama kita,” katanya.

Beliau seterusnya memberitahu fokus kepimpinan bahagian selepas Perhimpunan Agung UMNO yang lalu kian melonjak dan bersemangat.

“Tentunya  mereka lebih besemangat dan fokus untuk memperkuatkan parti, tambahan pula Kota Belud salah satu kubu kuat parti dan menang pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti selesa dan tentu menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin UMNO untuk tentukan kekuatan parti berterusan dan kita telah bentuk jawatankuasa pilihan di semua peringkat dengan kita bersiap siaga untuk hadapi PRU ke13,” katanya.

Ketika ditanya apakah pendekatan yang bakal diambil kelak, Salleh berkata pihaknya akan lebih menjurus kepada penerangan terhadap dasar kerajaan baik diperingkat persekutuan mahu pun negeri yang menekankan politik pembangunan.

“Kita amat beruntung kerana dasar kerajaan samaada kerajan pusat dan negeri telah dilaksanakan sebaiknya dan kita lihat sekarang Datuk Seri Najib telah ambil beberapa pendekatan yang baru di mana bantuan langsung juga dapat dirasai oleh masyarakat keseluruhannya.

“Dengan mengutamakan politik pembangunan yang menjurus kepada peluang ekonomi untuk masyarakat keseluruhan, peluang pekerjaaan dan sebagainya sudah tentu dibawah Datuk Seri Najib ianya jelas ambil kira hal sedemikian dalam program mereka dengan tujuan untuk rakyat nikmati kemerdekaan sebenarnya.

“Dan sudah tentu ini memberi kesedaran kepada rakyat bahawa kerajaan yang benar-benar memahami rintihan rakyat dan ingin membantu mereka. Jadi pada saya dengan dasar sedemikian maka ia sudah tentulah akan dapat membantu parti untuk dapat kemenangan yang besar pada pilihan raya akan datang,“ katanya. – MediaUMNO






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker