KUALA LUMPUR, 3 Feb – Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof meminta mana-mana pihak termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan penjelasan terhadap kenyataan yang menyebut Nabi Muhammad s.a.w sama dengan Muhammad lain ketika remajanya
Menurut beliau Rasulullah s.a.w bukanlah manusia biasa sebelum atau selepas diangkat menjadi Rasul sebaliknya manusia yang istimewa.
Justeru beliau dengan tegas meminta mana-mana pihak atau cendekiawan agama yang seolah-olah menyamakan Nabi Muhammad s.a.w sama dengan Muhammad lain ketika remajanya memperbetulkan kenyataan berkenaan.
“Nabi Muhammad itu semasa di dalam kandungan ibunya sudah pun luar biasa. Apabila dilahirkan pun beliau cukup luar biasa dan berbeza dengan bayi-bayi lain yang dilahirkan pada waktu itu.
“Malah dadanya dibelah ketika baginda berada pada usia kanak-kanak lagi dan keadaan itu tidak berlaku kepada kana-kanak lain. Malah pada zaman remajanya Rasulullah s.a.w digelar Al-Amin iaitu seorang yang amanah dan jujur.
“Jadi saya tidak tahu bagaimana terdapat pihak-pihak tertentu yang menyamakan Rasulullah s.a.w pada zaman remajanya sama seperti kanak-kanak lain. Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w cukup istimewa,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas terdapatnya pihak tertentu yang menyamakan Nabi Muhamamda s.a.w apda zaman remajanya dan sebelum diangkat menjadi Rasul adalah manusia biasa dan seperti remaja-remaja lain.
Ustaz Afandi seterusnya menegaskan perkara berkenaan boleh menimbulkan keraguan dan tanda tanya kepada masayarakat umum akan keistimewaan yang ada pada Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya kalau kita kata Nabi Muhammad sama dengan Muhammad lain pada usia remajanya umpama menghina kemuliaan junjungan besar Rasulullah s.a.w.
“Jika apa yang diungkapkan oleh Nik Aziz itu benar sepertimana tersebar di internet hari ini, saya minta beliau perjelaskan sebetulnya dan jika tidak benar beliau perlu menafikan perkara berkenaan yang menjadi perbualan umum. Kita tidak mahu perkara ini mengelirukan umat Islam,” katanya. – MediaUMNO