Ahmad Maslan Berpantun Lagi, Harap Pengundi Kimanis Hantar Mesej

KIMANIS, 1 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap rakyat terutama pengundi di Parlimen Kimanis agar menghantar satu mesej jelas kepada kerajaan hari ini yang gagal melunaskan manifesto mereka sebelum ini terutama sepuluh janji dalam tempoh sepuluh hari.

Menurut beliau hasil kajiannya janji berkenaan tidak ada satu pun yang ditunaikan sepenuhnya sehingga ke hari ini apatah lagi dengan janji-janji lain yang ditawarakan oleh mereka sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Sekarang ini  sudah 600 hari janji-janji itu tidak ada satu pun yang ditunaikannya. Saya sudah buat kajian 10 janji itu tidak ada satu pun janji yang dibuat sepenuhnya. Contoh mereka hapuskan GST tetapi diganti dengan sembilan cukai dan kenaikan cukai.

“Cukai baru ada enam dan kenaikan cukai pula ada tiga. Jadi dengan lain perkataan mereka memperdayakan rakyat dengan membuat keputusan yang kononnya keputusan popular menghapuskan GST tetapi dalam masa setahun tujuh lapan bulan mereka sudah tambah cukai-cukai baharu.

“Jadi ini memperdayakan rakyat selain daripada banyak perkara ‘u-turn’ macam hari ini diumumkan satu lagi ‘u-turn’ konon salah satu janji dalam sepuluh janji itu adalah untuk mengadakan subsidi bersasar untuk minyak. Hari ini pula dikatakan ditangguh dan tidak dilaksanakan lagi. Ini sebagai contoh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Kenduri Sekampung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah soal pembangunan dan sebagainya tidak perlu dirisaukan kerana ianya adalah hak untuk semua rakyat.

“Apabila kita memangkah BN di Kimanis ini kita memberikan mesej yang jelas kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat bahawa kita tidak bersetuju dengan mereka. Jangan risau tentang pembangunan kerana pembangunan ini hak milik semua rakyat,” ujarnya.

Beliau yang terkenal dengan celoteh pantunnya sekali lagi melontarkan pantun untuk pengundi di Parlimen Kimanis.

Pekan Kimanis dalam Sabah,
Sayur segar ikan kerapu;
Manifesto manis membawa padah,
Rakyat sedar mereka ditipu.

Jika mahu pergi memancing,
Dalam baldi berisi umpan;
Jika tidak mahu kena kencing,
Jangan sokong PH Warisan.

Setiap hari makan bayam,
Banyak merasa jadi mual;
Kerajaan ini ‘cap ayam’,
Harta negara banyak dijual.

Tanam kuini dalam pasu,
Ketika redup waktu pagi;
Kerajaan ini manifesto palsu,
Kos hidup makin tinggi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.