Kategori Dari Bahagian

Sumbangan Sempena Krismas Bukti Kerajaan BN Tidak Amal Sikap Pilih Kasih

SIPITANG, 23 Dis –  Keharmonian dan kemakmuran negara tidak akan tercapai sekiranya persefahaman serta perpaduan kaum diketepikan.

Ketua UMNO Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata rakyat negara ini juga pasti akan menjalani kehidupan dalam serba ketakutan dan juga kebimbangan.

“Sudah banyak bukti yang dapat kita lihat bagaimana kehidupan rakyat di negara yang tidak mampu mewujudkan persefahaman dan perpaduan antara kaum,” katanya pada penyampaian sumbangan sempena perayaan Hari Krismas kepada gereja-gereja Sipitang di Dewan Gereja R.C St.Yohanes sini kelmarin.

Katanya keadaan itu wajar dijadikan contoh oleh rakyat negara ini kerana perbalahan antara kaum termasuklah ketiadaan kerjasama seperti sikap hormat-menghormati antara penganut agama boleh menyebabkan sesebuah negara itu berdepan dengan kehancuran. 

Menurutnya biarpun Islam menjadi agama rasmi negara ini namun penganut agama lain tetap dihormati.

“Sejarah dan apa yang berlaku di negara lain sudah cukup memberikan pengajaran dan kita tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya dan menambah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi meletakkan persefahaman dan perpaduan antara kaum sebagai perkara yang amat penting.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sipitang seterusnya berkata Kerajaan BN juga tidak mengamalkan sikap pilih kasih dan setiap rakyat tanpa mengira anutan agama mahupun kaum tetap diberikan perhatian.

Katanya dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengadakan adanya sikap pilih kasih sebenarnya hanya mahu memecahbelahkan perpaduan dan persefahaman antara kaum di negara ini.

“Jangan kita dipergunakan dan diperbodohkan…usaha pihak tertentu ini wajar dihalang dan mereka juga tidak layak tingggal di negara ini,” katanya lagi.

Beliau berkata pihak tertentu itu hanya mementingkan diri sendiri sehingga sanggup berdepan dengan risiko yang tinggi.

“Kita tidak mungkin dapat meraikan sebarang perayaan dengan sempurna jika kita menuruti kehendak pihak tersebut…kita berdepan dengan kerugian yang besar dan manfaatnya pula hanya kepada pihak tersebut.

“Jadi kita perlu memikirkan masa depan generasi akan datang dan usah terpengaruh serta percaya dengan dakyah-dakyah yang hasilnya hanya memudaratkan,” katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi Majlis Gereja-gereja Sipitang Joseph D Sirup menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Sapawi sebagai Ahli Parlimen dan Ahmad Bujang sebagai wakil rakyat Sindumin.

Di majlis itu juga Sapawi dan Ahmad telah menyampaikan sumbangan kepada 40 buah majlis gereja di Sipitang sempena sambutan perayaan Krismas sambil mengucapkan selamat Hari Krismas kepada semua warga Parlimen Sipitang yang berketurunan kristian.



Berita Bertarikh 23 December 2011 6:42 pm






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Google+

PageRank Checker