Pahang Lulus Hutan Simpan Kekal Sungai Yu Seluas 127.893 Hektar

KUANTAN, 28 Nov – Kerajaan Pahang meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon di Lipis sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata langkah itu yang diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri adalah sebagai usaha melindungi hidupan liar termasuk harimau Malaya yang semakin terancam.

Beliau berkata kewujudan HSK Sungai Yu kelak akan menghubungkan HSK Ulu Jelai dan HSK Tanum, sekaligus membentuk rangkaian ‘Central Forest Spine’ (CFS), yang memenuhi keperluan harimau Malaya terhadap landskap hutan yang luas dan bersambung.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menutup jalan lama Sungai Yu sepanjang 5.2 kilometer ekoran terdapat laporan jalan itu digunakan oleh pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak haram untuk melakukan aktiviti mereka.

“Penutupan jalan ini juga dilihat dapat menghindarkan kemasukan secara mudah golongan berkenaan ke kawasan hutan bersebelahan laluan khas haiwan iaitu Eco Viaduct di Sungai Yu,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Wan Rosdy berkata cadangan menutup jalan itu diutarakan badan bukan kerajaan Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) yang turut memaklumkan terdapat bukti hidupan liar yang menggunakan Eco Viaduct antara Februari hingga April lepas menjadi sasaran pemburu haram.

Selain itu, penutupan jalan itu juga tidak menyukarkan pengguna kerana ia kini hanya digunakan sebagai laluan alternatif ke kebun oleh penduduk berhampiran selepas pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) di situ siap.

Wan Rosdy juga memaklumkan kerajaan negeri turut merizabkan tanah kerajaan seluas 2.05 hektar di Taman Rekreasi Sungai Yu yang semakin uzur untuk dijadikan pusat pembangunan, penyelidikan dan pusat sehenti rangkaian CFS.

“Kewujudan pusat tersebut diharapkan dapat memberi peluang kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk membuat penyelidikan berkaitan flora dan fauna di Pahang, selain membolehkan kerja menguruskan koridor ekologi CFS Pahang dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.